suria

Lelaki Dirempuh Penjenayah Dalam Keadaan Kritikal

KUALA LUMPUR: Mohd Azmi Abdul Aziz, 46, yang dirempuh sebuah kereta penjenayah yang cuba melarikan diri daripada polis pada Jumaat lepas, kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Ampang di sini, demikian menurut isterinya.

Nor Ashikin Shaarani, 49, berkata suaminya yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi sejak Jumaat lepas mengalami kecederaan teruk di kepala dan tulang rusuk.

"Doktor telah memasukkan besi di kakinya," katanya kepada pemberita di hospital itu selepas menerima sumbangan daripada Ketua Umno Bahagian Seputeh Datuk Mustapha Kamal Yusuf hari ini.

Dalam kejadian pada 6.15 pagi Jumaat lepas, Mohd Azmi, kerani Biro Angkasa, yang sedang memandu keretanya untuk menghantar anaknya Nur Amirah, 17, ke sekolah telah dilanggar sebuah kereta lelaki disyaki pengedar dadah yang dikejar peronda polis di Taman Melawati di sini.

Nur Amirah, yang turut cedera dan menerima sekitar 100 jahitan di muka dan patah tangan, telah dibenarkan keluar dari hospital itu semalam.

Lelaki disyaki pengedar dadah berumur 27 tahun itu diberkas setelah kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar penghadang jalan dekat situ. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain