suria

KPDNKK Johor Rampas Barangan Tiruan Berjenama Bernilai RM1.3 Juta

JOHOR BAHARU: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas pelbagai barangan tiruan berjenama bernilai RM1.3 juta dalam serbuan ke atas empat premis perniagaan, di Bukit Indah di sini hari ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Johor Abdul Hamid Abu Bakar berkata rampasan kira-kira 500,000 jersi, kasut, beg tiruan dan barangan lain berjenama Adidas, Nike, Crocs serta Gucci pada pukul 10 pagi itu, dipercayai merupakan rampasan terbesar bagi tahun ini.

"Kesemua empat premis itu hanya mempunyai satu pintu masuk dan dilengkapi dengan lif untuk ke bahagian tingkat atas," katanya kepada pemberita.

Abdul Hamid berkata risikan ke atas premis itu dilakukan sejak sebulan lepas, namun pihaknya pada hari ini terkejut apabila mendapati stor tersebut lebih besar daripada yang dijangkakan.

Beliau berkata bagi mengaburi pihak berkuasa juga, pihak yang terlibat dalam kegiatan sejak enam bulan lepas itu turut melekatkan notis "untuk disewa" pada bahagian pintu luar selain memasang 14 kamera litar tertutup (cctv).

"Barangan seperti jersi, kasut dan cenderamata bola sepak termasuk koleksi Piala Dunia 2010 dipercayai untuk pasaran tempatan serta negeri berhampiran," katanya.

Abdul Hamid berkata pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai pekerja di premis berkenaan bagi siasatan lanjut.

Kesemua barangan tersebut, katanya, akan disita mengikut Seksyen 3(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972, jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain