suria

Khidmat Kaunseling Untuk Atasi Gangsterisme Di Sekolah - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha menyelesaikan masalah gangsterisme di kalangan pelajar sekolah menerusi khidmat kaunseling, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata sekiranya khidmat kaunseling yang diberikan tidak mampu mengubah sikap pelajar terbabit, barulah tindakan tegas akan dikenakan.

"Berdasarkan laporan yang diterima kementerian, seramai 32 pelajar sekolah menengah terlibat dalam kegiatan itu pada 2005 diikuti 56 orang (2006), 49 orang (2007), 81 orang (2008) dan 60 orang (2009)," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam).

Muhyiddin berkata definasi gangsterism di sekolah adalah merujuk kepada murid yang melakukan salah laku berunsur jenayah seperti pemerasan, ugutan, memukul atau seumpamanya secara terancang.

Katanya bagi kes yang melibatkan murid sekolah rendah, perlakuan seumpamanya dikategorikan sebagai kenakalan kanak-kanak dan tindakan yang diambil adalah secara dalaman dengan melibatkan ibu bapa mereka, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selain usaha-usaha memberi kesedaran kepada murid terlibat.

Langkah lain yang diambil bagi membendung masalah berkenaan termasuk membentuk kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) serta melibatkan ibu bapa melalui PIBG dan masyarakat dalam aktiviti di sekolah dalam usaha membendung masalah gangsterisme.

Kementerian juga menggalakkan penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di sekolah dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Sehingga tahun lepas, sejumlah 7,046 buah KPJ telah berjaya diwujudkan merangkumi 1972 kelab di sekolah menengah dan 5,074 kelab di sekolah rendah, kata Muhyiddin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain