suria

Jannie Ucap Terima Kasih Kepada PM Kerana Pelantikannya Sebagai Anggota Suhakam

KOTA KINABALU: Bekas wartawan RTM Sabah Jannie Lasimbang, yang dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam, menyuarakan penghargaan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas pelantikan itu.

Jannie, 47, anak kelahiran Kampung Nampasan, Penampang, berkata pelantikan itu merupakan pengiktirafan kepada kaum wanita dan penduduk pribumi di negara ini.

"Saya harap semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, NGO dan masyarakat keseluruhannya akan bekerjasama bagi menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia. Hak asasi manusia perlu dilindungi dan proses ini hanya dapat berlaku menerusi kerajasama erat kita," katanya di sini hari ini.

Ketika mengumumkan pelantikan itu semalam, Najib menamakan Pengerusi Eksekutif Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Tan Sri Hasmy Agam sebagai pengerusi baru Suhakam.

Selain Jannie, anggota lain suruhanjaya itu ialah Muhammad Sha'ani Abdullah, Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee, James Deva Nayagam, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi A.Majid dan Detta anak Samen.

Jannie, siswazah Sarjana Muda Biokimia dari University of Kent Canterbury, United Kingdom pada 1984, bekerja sebagai wartawan di RTM Sabah bagi tempoh yang singkat sebelum menyertai Jabatan Hasil Dalam Negeri di sini selama dua tahun.

Pada 1987, beliau membantu menubuhkan Partners of Community Organisation (Pacos Trust) dan bekerja untuk pertubuhan sukarela ini sehingga tahun 2000.

Pacos trust, sebuah pertubuhan kemasyarakatan yang berpusat di Sabah, antara lain, bermatlamat meningkatkan kualiti hidup masyarakat pribumi di rantau ini menerusi pengukuhan organisasi kemasyarakatan, memperkukuhkan sistem pengetahuan masyarakat pribumi dan pengurusan sumber asli, serta menambah baik jagaan dan perkembangan awal kanak-kanak.

Jannie turut menyandang jawatan Setiausaha Agung Pakatan Penduduk Pribumi Asia dan merupakan bekas pengerusi Dana Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penduduk Pribumi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain