suria

Israel Cuba Tunjuk 'Kebaikan' Selepas Satu Dunia Marah

SEPANG: Walaupun tidak diserang secara ganas dan tidak berlaku pertumpahan darah seperti mana yang berlaku terhadap Mavi Marmala, sifat berperi kemanusiaan yang cuba ditunjukkan rejim Zionis dianggap sebagai penipuan besar dan lakonan semata-mata oleh enam rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Rachel Corrie.

"Kalau mereka itu baik, kita tak buat salah apa-apa kenapa mereka tahan kapal kita?

"Kemudian di televisyen, mereka tunjuk kepada dunia bahawa mereka ini kononnya baik sebab tidak mencederakan kami semua. Apakah maksudnya itu?," kata Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) malam tadi.

Katanya, senyuman dan layanan baik yang diberikan kepada mereka berenam langsung tidak membuatkan mereka terfikir untuk tunduk dengan kerenah dan kekejaman Israel.

"Mereka senyum, depan kita tunjuk baik tapi senyuman itu dirasakan begitu menyakitkan apabila mengenangkan nasib rakyat Palestin yang menderita.

"Mereka juga ugut kami. Mereka tidak akan ganas kalau kami tidak bertindak ganas. Macam mana kami boleh bertindak ganas sedangkan misi kami ke Gaza untuk hantar bantuan, senjata pun tak bawa," katanya.

Alasan tentera Israel yang paling tidak dapat dilupakannya apabila kapal 1500 tan metrik yang membawa simen, alat tulis, kerusi roda dan sumbangan lain dikatakan sebagai senjata.

"Cubalah awak fikirkan, logikkah kami bawa kereta sorong sebagai senjata?," katanya.

Tuduhan Israel terhadap mereka dengan menyatakan mereka mahu memasuki Israel juga dianggap tidak masuk akal, sebaliknya rejim Zionis itu yang membawa mereka berenam memasuki Israel tanpa diminta.

Menyifatkan semua itu hanyalah propaganda dengan tujuan untuk mengaburi mata dunia, dia yakin dunia kini lebih celik dan bijak menilai keganasan rejim Israel itu dan Israel akan menerima balasannya kelak.

"Mereka fikir mereka bijak bila layan kami semua dengan baik. Dalam masa yang sama mereka tetap anggap kami semua pengganas," katanya.

Memikirkan kekejaman Israel sambil berpeluang melihat sendiri penderitaan rakyat di Gaza dan Palestin, sikap baik yang cuba ditonjolkan tentera Israel dirasakan satu penghinaan dan penipuan besar.

Katanya, dia sedih melihat penindasan Yahudi terhadap penduduk Palestin di mana keadaan kampung mereka terlalu daif, malah dihalang dengan tembok-tembok supaya tidak berlaku sebarang hubungan sesama mereka.

Paling menaikkan kemarahannya apabila kapal Rachel Corrie yang berada di perairan antarabangsa diserbu seramai lebih daripada 50 orang komando Israel, tindakan itu jelas sekali melanggar hak kemanusiaan dan melanggar undang-undang.

Namun, pengalaman berdepan dengan komando dari negara paling kejam di dunia itu langsung tidak membuatkan dia serik untuk ke sana lagi demi menghulur bantuan kepada rakyat Gaza dan Palestin.

Artikel Berikut

Artikel Lain