suria

Gari Ditangan Kugan Gagal Ditemui - Polis

PETALING JAYA: Gari yang dipakaikan kepada A.Kugan sepanjang tempoh soal siasat gagal ditemui selepas tahanan itu dilaporkan mati dalam lokap, tahun lepas, kata pegawai penyiasat di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

ASP Mohd Marzuki Mohd Mokhtar, 32, berkata beliau juga tidak mengetahui atau menemui kunci untuk gari tersebut dan turut menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu.

"Jika saya tidak mengetahui mengenai gari itu, bagaimana saya boleh pula mengetahui kunci bagi gari itu," katanya ketika disoal balas peguam Datuk P. M Nagarajan, yang mewakili konstabel V. Navindran, yang menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan.

Reaksi saksi itu semasa menjawab soalan itu menimbulkan kemarahan Nagarajan dan beliau mengingatkan Mohd Marzuki bahawa akan timbul pelbagai soalan yang lain jika beliau enggan menjawab mengikut kehendak soalannya.

Saksi pendakwaan ke-22 itu memberitahu mahkamah, bahawa beliau juga tidak mengetahui gari milik siapa yang digunakan terhadap Kugan dalam tempoh kejadian itu berlaku.

Mohd Marzuki memberi keterangan pada perbicaraan kes Navindran, 28, yang mengaku tidak bersalah 1 Okt lepas terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah.

Navindran dituduh melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, 7 pagi, 16 Jan tahun lepas, dan didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Dalam keterangan pada 7 April lalu, saksi pendakwaan ke-19, Konstabel Mohd Fauzi Mohd Nor, 29, memberitahu bahawa gari yang digunakan terhadap Kugan adalah miliknya yang ketika itu sedang bertugas dari 15 Januari hingga hari berikutnya, pada pukul 8 malam.

Perbicaraan dihadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung 19 Julai ini dengan keterangan dua saksi pendakwaan iaitu pembantu pegawai penyiasat kes, Insp Khairi Kamarudin dan ahli kimia Adriane Reeza Ali. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain