suria

Dua Lelaki Lemas Di Perak

IPOH: Dua lelaki ditemui mati lemas dalam kejadian di sini dan Pantai Remis hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ibrahim Abu Bakar berkata dalam kejadian pertama polis menemui mayat Loke Weng Kian, 29, di dasar lombong tinggal di Taman Yik Sang pada pukul 9.15 pagi ini.

Laporan polis mengenai kehilangan Loke dibuat oleh keluarganya malam tadi setelah dia tidak pulang ke rumah dan keluarganya yang keluar mencarinya menemui kereta dan selipar Loke di tepi lombong, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat melancarkan operasi mencari dan menyelamat dan mayat Loke ditemui pagi ini oleh pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mayat Loke dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Dalam satu lagi kejadian, mayat seorang nelayan Mohamad Rodzi Bodin, 57, ditemui terapung di Sungai Batu, Pantai Remis pada pukul 7.45 pagi ini.

Mohd Rodzi yang berasal dari Kampung Indah, Pantai Remis dilapor keluar ke sungai bersama seorang rakannya untuk menangkap udang kira-kira pukul 10 pagi semalam dan tidak pulang sehingga malam tadi.

Semasa menangkap udang Rodzi bersama rakannya telah di landa ombak besar menyebabkan mangsa tercampak ke dalam sungai.

Mayat mangsa ditemui terapung oleh nelayan kira kira 20 metar daripada tempat kejadian pagi ini dan dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain