suria

Bekas Pengarah Urusan Dituduh Bersubahat Menipu RM12 Juta

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah urusan syarikat produk kesihatan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan bersubahat menipu syarikat itu membabitkan RM12 juta.

Goh Bak Ming, 67, dari Petaling Jaya, didakwa bersubahat dengan ahli perniagaan, Poh Gaik Lye, 55, untuk menipu syarikat Liqua Health Corporation Berhad dengan melibatkan anak syarikatnya Liqua Health Marketing (M) Sdn Bhd bagi menandatangani perjanjian pengedaran produk kesihatan Wynsum Healthy Living Sdn Bhd.

Perjanjian pengedaran itu membolehkan Liqua Health Marketing memindahkan RM12 juta kepada syarikat Wynsum untuk membekalkannya produk kesihatan tersebut.

Goh bagaimanapun didakwa menggunakan RM9.75 juta daripada wang tersebut untuk membeli 45,960,450 unit saham Liqua Health Corporation.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 23 Feb dan 31 Julai 2007 di Liqua Health Marketing (M) Sdn Bhd di Taman Shamelin Perkasa di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 87A(a) yang dibaca bersama Seksyen 122C (c) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280), dan boleh dihukum mengikut Seksyen 88B akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM1 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti Susheel Kaur memohon agar mahkamah mengenakan ikat jaminan sebanyak RM1 juta kepada Goh kerana kesalahan itu melibatkan jumlah wang yang banyak.

Susheel turut meminta tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam Chew Choon Leong bagaimanapun memohon agar pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah kerana Goh perlu ke China esok.

Hakim Jagjit Singh membenarkan Goh dijamin RM500,000 dengan dua orang penjamin, serta mengarahkan pasport Goh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 9 Julai ini untuk sebutan semula.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain