suria

Tiga Lelaki Indonesia Tidak Mengaku Salah Lakukan Rompakan Bersenjata

KUANTAN: Tiga warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap sebuah keluarga di sini bulan lepas.

Tertuduh Zakaria Mohamad, 40, dari Makasar, Idris, 30, dari Berakit dan Denni Irawan, 36, dari Ceribon, didakwa melakukan samun berkumpulan dengan bersenjatakan parang ke atas peniaga Mohd Isha Hassan, 58.

Bagi pertuduhan pertama di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain, kesemua tertuduh didakwa merompak Mohd Isha dengan wang tunai RM87,000, sejumlah barang kemas, dua buah telefon bimbit dan 18 kad prabayar, membabitkan nilai keseluruhan RM130,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah mangsa berhampiran stesen minyak BHP di Felda Bukit Kuin dekat sini, pada pukul 4.14 pagi, 10 Mei lalu.

Di mahkamah berasingan, mereka menghadapi tuduhan kedua iaitu merampas sejumlah barang kemas dan sebuah telefon bimbit bernilai kira-kira RM10,000 milik isteri mangsa, Zainab Talib, 56, pada pukul 3.30 pagi pada hari dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, yang dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suaibon, mereka didakwa merompak anak perempuan pasangan terbabit, Shazwanie Mohd Isha, 18, dengan merampas sebuah telefon bimbit dan komputer riba membabitkan nilai RM5,000.

Bagi pertuduhan keempat, mereka didakwa merompak anak saudara peniaga tersebut, Zulmuhaimin Mohamad, 20, yang turut berada di dalam rumah, dengan merampas sebuah telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM600.

Mereka, yang tidak diberi ikat jamin, didakwa mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan kesemua tertuduhan melantik peguam.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How. - BERNAMA

Artikel Lain