suria

Tiga Beradik Maut Dalam Kemalangan Di Plaza Tol Sungai Dua

KEPALA BATAS: Tiga beradik yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kepala Batas di sini maut apabila kenderaan yang dinaiki terbabas dan melanggar tembok di Plaza Tol Sungai Dua arah utara di sini sebelum terbakar awal hari ini.

Kemalangan pada pukul 2.45 pagi itu menyebabkan Azwari Aznal Nithia Azlan Nithiabalan, 20, Azwani Aznil Nithia, 22, dan Aztika Azrin, 14, mati di tempat kejadian.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang Asisten Supritendan (ASP) Ahmad Ezzely Razali berkata kereta jenis Satria Neo warna hitam yang dipandu Azwari dipercayai terbabas sebelum melanggar tembok tol di lorong ketiga plaza itu.

"Selepas terlanggar tembok tol di lorong ketiga, kereta yang dinaiki tiga remaja dari Seberang Jaya itu terlanggar tembok tol keempat dan terbalik beberapa kali sebelum terbakar.

"Kesemua mereka dipercayai terperangkap di dalam kereta semasa kebakaran dan mayat dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat selepas sejam kejadian berlaku," katanya di sini hari ini.

Ahmad Ezzely berkata mayat tiga beradik itu di hantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.

"Polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di plaza tol itu bagi menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, mayat tiga beradik berkenaan dituntut anggota keluarga mereka selepas selesai bedah siasat dan dibawa pulang ke rumah mereka di Bertam di sini.

Mayat mereka akan dikebumikan selepas solat Asar hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain