suria

Penjawat Awam Rugi RM10,000 Disamun Empat Lelaki

KUANTAN: Seorang penjawat awam kerugian kira-kira RM10,000 selepas rumahnya di Kampung Kempadang di sini dimasuki empat penyamun dipercayai warga asing semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Asisten Supritendan (ASP) Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.15 pagi ketika lelaki berusia 50-an itu dan isterinya sedang tidur di bilik tidur utama.

"Pintu bilik mereka diketuk dan apabila mangsa membukanya didapati dua anak lelaki mereka yang berusia 17 dan 19 tahun telah diikat tangan. Mangsa juga melihat empat lelaki berdiri berhampiran bilik dengan seorang daripadanya memakai topeng," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Noor Asyikin berkata kumpulan lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu kemudian mengikat mangsa serta isteri dan menempatkan keluarga itu di bilik tidur utama sebelum menggeledah rumah tersebut.

Mereka kemudian membawa lari barang kemas, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM150 dengan nilai keseluruhan sekitar RM10,00, katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan perompak itu memasuki rumah tersebut menerusi pintu utama yang diumpil dan melarikan diri menerusi pintu belakang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain