suria

Najib Gesa Dunia Bawa Israel Ke ICC

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa negara-negara dunia sepakat membawa usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai tindakan zalim rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Usul khas itu mengandungi 15 ketetapan telah dibentangkan Najib di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata, usul itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan pada orang awam.

“Malaysia merakamkan rasa kecewa tidak terhingga kepada tindakan Majlis Keselamatan PBB di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas rejim zionis itu.

“Usul ini juga memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB supaya mencela Israel dan bukan semata-mata membuat kenyataan yang lemah,” katanya.

Selain itu, usul tersebut memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara pertubuhan Islam (OIC), pergerakan negara-negara berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendokong prinsip undang-undang antarabangsa.

Ini katanya, ia termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan piagam PBB dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

“Usul ini menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan PBB merujuk situasi tindakan zalim rejim Israel ke ICC,” tambahnya.

Najib turut menggesa negara-negara sependapat supaya mengemukakan ke Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan pendapat berbentuk nasihat daripada ICC.

Beliau menambah, terdapat permohonan supaya Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rom di ICC.

“Kita juga menetapkan supaya menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat ke atas rejim zionis dan bukan setakat siasatan yang tidak berpihak.

“Juga menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa terutama Majis Hak Asasi Manusia melalui resolusi yang diterima pada 2 Jun lalu supaya satu siasatan accountability dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan tersebut,” katanya.

Antara ketetapan lain dalam usul tersebut adalah menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi kemanusiaan kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza selaras dengan resolusi 1890 Majlis Keselamatan PBB.

Beliau menambah, tindakan Mesir membuka Rafah tanpa syarat dialu-alukan bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan.

“Masyarakat antarabangsa dirayu supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar terhadap ancaman rejim Zionis.

“Kita merakamkan penghargaan kepada negara Jordan, Turki, Ireland, Thailand dan Filipina juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan rejim Zionis.

“Kita menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat.

“Ia juga menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat,” katanya.

Artikel Lain