suria

Malaysia Bantu Majukan Bidang Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Laos

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membekalkan tenaga mahir ke Laos khusus bagi membantu usaha memajukan sektor pendidikan dan pengajian tinggi negara itu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Laos ketika ini memerlukan sumber manusia dan modal insan untuk mengerakkan ekonomi serta pembangunannya kerana ia adalah sebuah negara yang sedang pesat membangun.

Beliau berkata tidak semestinya kemasukan pelajar dari luar semata-mata dapat membantu membangunkan sektor pendidikan mereka.

"Apa yang boleh Malaysia buat ialah membantu Laos dari segi mengurus dan memajukan sektor pendidikan serta pengajian tingginya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-10, Food Institute of Malaysia (FIM) di sini, hari ini.

Katanya Laos boleh mempelajari pengalaman Malaysia dalam melibatkan sektor swasta untuk membangunkan modal insan, kerana menurutnya Malaysia kini memiliki 45 buah institusi pengajian tinggi swasta, manakala kolej swasta pula beratus-ratus banyaknya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan rasminya ke Laos baru-baru ini turut menyaksikan majlis menandatangani MoU mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi antara negara.

Sementara itu 328 penuntut FIM menerima sijil dan diploma masing-masing yang disampaikan oleh Mohamed Khaled. - BERNAMA

Artikel Lain