suria

Lesen Runcit Tetap Dilaksana Walaupun Persatuan Ugut Henti Jualan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan tetap meneruskan pelaksanaan lesen runcit untuk barangan kawalan berkuatkuasa 1 Julai ini walaupun Gabungan Persatuan Peniaga Barang-barang Runcit Malaysia hari ini mengugut untuk menghentikan penjualan tiga barang kawalan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian telah banyak berkompromi dan bersetuju dengan segala permohonan persatuan berkenaan sebelum ini.

"Kita telah bersetuju dengan permintaan mereka minta cepatkan proses permohonan lesen, mansuhkan pembayaran RM10 untuk lesen dan tangguh kuatkuasa 15 Jun kepada 1 Julai, kerajaan dah banyak berkompromi.

"Tujuan kita bukan kerana duit tapi untuk pantau tiga peringkat ini (pengilang, pemborong dan peruncit) supaya masalah ketirisan gula tak berlaku sehingga timbul masalah kepada pengguna," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan persatuan itu untuk menghentikan penjualan tiga barang kawalan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum berkuatkuasa 15 Jun ini jika kerajaan menguatkuasakan Lesen Runcit Barang Kawalan 2010 untuk menjual barangan itu.

Ismail Sabri berkata banyak pihak yang boleh dibenarkan dan berminat menjual barangan itu sekiranya persatuan berkenaan tetap dengan pendirian mereka untuk memboikot jualannya.

"Hypermarket dan supermarket akan jual gula, mungkin kita akan benarkan stesen minyak yang ada kiosk untuk jual gula, kedai koperasi, Fama, pasar tani, dan persatuan peladang juga boleh jual gula.

"Saya juga akan bawa kepada Kabinet sekali lagi untuk membuka pasaran import gula," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain