suria

Kerajaan Tambah Lima Peratus Bekalan Gula Bulan Ini

BERA: Kerajaan menambah lima peratus lagi bekalan gula kepada pemborong dan peruncit di seluruh negara mulai bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penambahan stok bekalan itu berikutan ramai orang yang mengadakan majlis kenduri di musim cuti persekolahan pada bulan ini selain bimbang bekalan gula akan berkurangan sekiranya orang ramai membuat pembelian panik.

"Orang ramai diminta tidak membuat pembelian panik kerana kerajaan belum bercadang menaikkan harga gula, malah bekalan gula mencukupi di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan kepada Persatuan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen Bera di sini semalam.

Beliau berkata sebarang kenaikan harga barang keperluan hanya akan dibuat setelah kerajaan mendengar pandangan orang ramai.

"Orang ramai jangan mendengar khabar angin yang tidak betul dan mengelirukan kerana ini boleh menyebabkan pelbagai masalah termasuk kekurangan bekalan barang di pasaran," katanya.

Ismail Sabri berkata hanya kerajaan yang memiliki kuasa sebarang mengumumkan kenaikan harga barang, bukannya pekedai. - BERNAMA

Artikel Lain