suria

Kedudukan 10 Terbaik Dunia Bukti Langkah Berani Malaysia Mampu Hasil Kejayaan - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kedudukan malaysia sebagai 10 negara terbaik di dunia dalam Laporan Daya Saing Dunia adalah bukti bahawa inisiatif untuk berfikir di luar kotak dan mengambil langkah berani yang pragmatik serta berkesan mampu membuahkan hasil yang amat memberangsangkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, Muhyiddin berkata inisiatif yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah hasil kerjasama semua penjawat awam dalam melaksanakan pelbagai dasar untuk mengukuhkan kedudukan negara, khususnya daripada aspek ekonomi. Katanya, Malaysia telah berjaya membuktikan bahawa lonjakan berganda yang dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai sesuatu sukar untuk dicapai telah berjaya direalisasikan dalam tempoh yang begitu singkat.

"Langkah sebegini telah lama kita ambil dan meningkat dari satu tapak ke satu tapak, tapi bukti yang kita lihat hari ini ialah sekiranya kita berani mengambil inisiatif yang berada di luar daripada kotak iaitu mengambil langkah yang drastik berdasarkan kepada dasar yang pragmatik dan berkesan, maka unsur-unsur seperti ini boleh membuahkan hasil yang cepat yang kita saksikan pada kedudukan Malaysia (dalam Laporan Daya Saing Dunia)," katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri telah melahirkan harapan untuk melihat kedudukan Malaysia di tangga yang lebih baik iaitu lima terbaik dunia pada masa akan datang, justeru sebarang dasar atau perubahan yang dibawa perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dalam keadaan yang penuh dengan persediaan.

"Apa yang amat penting ialah antara hubungan kerajaan dan swasta kerana menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 yang akan dibentangkan di Parlimen nanti, pihak swasta harus mengambil lebih inisiatif sebagai enjin pertumbuhan dan menjana kekayaan dalam negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, senario itu bermakna tugas penjawat awam menerima lebih keutamaan bagi memberikan dorongan, galakan, mempermudahkan proses dan mengambil langkah yang cepat serta efisien agar segala urusan yang perlu dilaksanakan oleh pihak swasta dapat direalisasikan pada kadar segera.

"Lebih cepat dan lebih pantas dapat kita putuskan, lebih mudah mereka buat keputusan dan lebih segera mereka dapat melaksanakan program dan usaha yang telah ditetapkan," katanya.

Saingan yang lebih kompetitif juga adalah cabaran utama yang perlu dihadapi selaras dengan kebangkitan China dan India dalam menarik pelabur utama dunia, katanya.

Muhyiddin berkata kedua-dua negara berkenaan sudah mula menikmati aliran wang masuk, justeru Malaysia berhadapan dengan cabaran bukan sahaja untuk memperbaiki kedudukan 10 terbaik dunia bahkan cabaran untuk melakukannya dalam ekosistem ekonomi yang sangat kompetitif.

"Di situlah terletaknya peranan kita, tanggungjawab kita dan tugas kita, dan apa yang boleh kita lakukan secara bersama untuk membolehkan segala inisiatif baru yang hendak dilaksanakan dilakukan dengan sebaik mungkin," katanya.

Muhyiddin berkata antara, aspek utama yang menjadi tumpuan dalam Laporan Daya Saing Dunia itu ialah keupayaan Malaysia menjana sumber modal insan yang berkualiti dan modal insan yang mampu menjana pendapatan yang lebih baik berdasarkan kepada usaha yang lebih kreatif dan inovatif serta kreatif.

"Di sini terletaknya tanggungjawab kita sebagai antara agensi dan jabatan yang utama untuk membantu lain-lain kementerian dan agensi terlibat, untuk melatih lebih banyak lagi pihak yang boleh membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka, baik dalam bidang teknologi, pengurusan dan sebagainya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain