suria

Iraq Boleh Penuhi Permintaan Minyak Dunia - Menteri

KUALA LUMPUR: Iraq mempunyai keupayaan untuk memenuhi permintaan global bagi minyak mentah, kata Menteri Minyaknya, Dr Hussain Al-Shahristani.

"Iraq akan mengeluarkan apa yang diperlukan oleh pasaran. Kami (Iraq) tidak akan membanjiri pasaran dan mempengaruhi harga dengan sebarang cara yang negatif," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di luar Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-15, di sini, hari ini.

"Unjuran kami bagi dua dekad yang akan datang ialah, dunia akan memerlukan minyak tambahan. Tiada sumber lain yang boleh menggantikan minyak dalam sebarang cara yang ketara," katanya.

Menurut Al-Shahristani, tidak terdapat banyak minyak di bahagian-bahagian lain di dunia.

"Oleh itu, kami fikir sebarang permintaan tambahan bagi minyak, terutamanya dari pasaran Asia, akan ditampung oleh Iraq," katanya.

Unjuran semasa Iraq bagi pengeluaran minyak ialah kira-kira 2.5 juta tong sehari. Negara itu menjangka menambah 150,000 tong lagi sehari pada akhir tahun ini dan 200,000 hingga 250,000 tong lagi sehari pada 2011.

Al-Shahristani berkata Iraq akan membuka satu lagi bidaan bagi projek eksplorasi gas utama pada September. - BERNAMA

Artikel Lain