suria

Dua Penjaga Lori Mengaku Tidak Bersalah Beri Rasuah RM1,500

SEREMBAN: Dua penjaga lori hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi rasuah RM1,500 kepada seorang penolong pengarah Tanah dan Galian, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, Khamis lepas.

M.Tamilselven, 40, dan Fang Tian Teck, 29, kedua-duanya dari Selangor, didakwa memberi rasuah kepada Hassnol Hisham Samsudin, 27, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori Syarikat Highway Quarry yang disyaki mengangkut bahan batuan tanpa permit.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di persimpangan Taman Cempaka, Nilai di sini, kira-kira pukul 7 pagi, 3 Jun lepas, mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Sabariah Atan membenarkan kedua-duanya diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi tiap seorang dan menetapkan 6 Julai ini untuk menyebut semula kes bagi mereka melantik peguam.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penjaga rumah urut turut didakwa memberi rasuah RM500 kepada seorang anggota polis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap enam pekerja di premis berkenaan yang tidak memiliki permit kerja selepas mereka ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Ng Kong Hua, 52, dari Taman Union di sini, minta dibicarakan.

Ng, yang merupakan Orang Kelainan Upaya, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Lans Koperal Hamran Jahari yang bertugas di IPK Negeri Sembilan, di premis Urut Tradisional Bahagian Sdn Bhd, Kemayan Square di sini, kira-kira pukul 5.17 pagi, 2 Jun lepas.

Sabariah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan Ng melantik peguam.

Kedua-dua pendakwaan dikendalikan oleh Mohd Jasmi Buang dari SPRM Seremban. - BERNAMA

Artikel Lain