suria

Dua Beranak Terbunuh Dalam Kemalangan Dekat Bidor

TAPAH: Dua beranak terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di Km 65.9 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Bidor hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata yang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari ialah pemandu kereta Chung Woon Cheng, 41, dan anak lelakinya Chee Wei Loon, 15, kedua-duanya berasal dari Bukit Pagar, Tapah.

Beliau berkata kedua-duanya mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di kepala, dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Katanya kejadian berlaku semasa dua beranak itu sedang dalam perjalanan dari Bidor ke Tapah apabila kereta yang dinaiki mereka dikatakan gagal memotong sebuah kereta di hadapan, lalu bertembung dengan sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata pemandu bas serta sembilan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Roslan berkata akibat kejadian kereta jenis Proton-Wira Aeroback itu remuk di bahagian hadapan, dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bidor terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mayat yang tersepit dalam kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain