suria

Bunuh Pembantu Rumah: Warga Myanmar Terlepas Tali Gantung

SHAH ALAM: Walaupun didapati bersalah membunuh seorang pembantu rumah warga Indonesia tujuh tahun lepas, seorang penghantar gas warga Myanmar hari ini terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan supaya dia ditahan di bawah perkenan Sultan Selangor.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membuat keputusan itu mengikut Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 yang menyatakan bahawa seorang kanak-kanak tidak boleh dikenakan hukuman mati dan dipenjarakan di satu tempat, selagi mendapat perkenan sultan.

"Memandangkan kamu berumur 16 tahun enam bulan semasa kejadian, sekalipun saya putuskan kamu bersalah di bawah pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tetapi kamu tidak digantung, sebaliknya ditahan di atas perkenan Sultan Selangor untuk satu tempoh yang akan diperkenan oleh baginda," kata beliau dalam penghakimannya.

Pada 19 Mac lepas, penghantar gas itu didapati melakukan kesalahan tersebut ketika berusia 16 tahun enam bulan, dan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, pada masa itu, dia masih ditakrifkan sebagai kanak-kanak.

Dia yang kini berumur 23 tahun, dituduh membunuh Nurmahdaleni, 23, di sebuah rumah, Taman Kesuma, Ampang, antara 11 pagi hingga 5 petang, 11 Jun 2003.

Warga Myanmar itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin manakala tertuduh diwakili peguam K.A. Ramu.

Sepanjang perbicaraan kes itu, seramai 17 saksi dipanggil pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan dua saksi.

Media sebelum ini melaporkan bahawa mayat mangsa ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan pisau masih melekat di dada, dan beberapa kesan tikaman juga ditemui di beberapa bahagian badannya. - BERNAMA

Artikel Lain