suria

Tiga Beranak Maut Dirempuh Kereta Semasa Pulang Dari Kuil

BANTING: Tiga beranak yang baru selesai menyempurnakan upacara sembahyang di sebuah kuil terbunuh manakala dua lagi anggota keluarga itu cedera parah apabila dirempuh sebuah kereta di Jalan Banting menghala ke Dengkil di sini malam semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar berkata lima sekeluarga itu sedang berdiri kira-kira 100 meter dari kuil apabila sebuah kereta jenis Proton Satria yang dipandu laju tiba-tiba merempuh mereka.

Rempuhan kuat dalam kejadian kira-kira 10 malam itu menyebabkan seorang daripada mangsa K. Krishnaveli, 41, terpelanting sejauh kira-kira 10 meter dan terdampar di atas sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Bapa Krishnaveli, G. Krishnan, 76, dan cucunya J. Thanuja, 11, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Banting, katanya.

Dua lagi cucu Krishnan iaitu J.Suresh, 15, dan G.Nureka, 10, cedera parah. Suresh yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal manakala Nureka dirawat di Hospital Banting.

Beliau berkata kesemua mangsa menghadiri upacara sembahyang di Kuil Mariamman, Persiaran Bandar Mahkota di sini bersama anggota keluarga yang lain dengan menaiki tiga buah kenderaan.

Katanya polis turut mengambil keterangan daripada pemandu kereta berumur 30-an itu.

"Sampel darah pemandu kereta itu turut diambil untuk ujian kimia bagi menentukan sama ada dia memandu dalam keadaan mabuk," katanya.

Bagaimanapun ujian air yang dijalankan terhadap pemandu kereta itu mendapati negatif dadah, katanya.

Artikel Lain