suria

PGPO Harap PBB Bantu Pastikan Bantuan Sampai Ke Tangan Rakyat Palestin

SEPANG: Perdana Global Peace Organisation (PGPO) pada hari Ahad meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar menghantar wakil sebagai orang tengah bagi memastikan bantuan kemanusiaan yang ditajanya dan dirampas Israel semalam diterima penduduk Palestin di Gaza.

Penasihat pertubuhan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ini kerana 'kemurahan hati' rejim Zionis itu untuk menyampaikan bantuan tersebut kepada penduduk Gaza adalah diragui.

"Mereka telah menakluk Gaza lebih tiga tahun dan kita berusaha untuk menghantar bantuan ke Gaza selama ini. Tapi mereka telah melampaui batas dengan menutup segala ruang dan usaha kita untuk menyampaikan bantuan.

"Itu sebab saya tak percaya mereka akan begitu murah hati untuk menghantar bantuan kita ke Gaza," katanya kepada pemberita di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Cubaan PGPO untuk menghantar bantuan yang berupa barangan keperluan dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza menerusi kapal 'Rachel Corrie' terkandas semalam apabila tentera rejim mengambil alih kemudi kapal tersebut dan membawanya ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

Enam rakyat Malaysia yang terdiri daripada tiga wakil PGPO, seorang anggota Parlimen dan dua anggota media berada di atas kapal itu bersama aktivis kemanusiaan antarabangsa yang lain.

Tentera Israel pada minggu lepas menyerang sebuah kapal yang membawa bantuan kemanusiaan serupa iaitu 'Mavi Marmara' dan menahan kesemua mereka yang berada di atasnya termasuk 12 warga Malaysia. Sembilan orang turut dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata bantuan PBB itu diperlukan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. - BERNAMA

Artikel Lain