suria

Penduduk Gaza, Rakyat Palestin Wira Sebenar - Sukarelawan Malaysia

Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan menunjukkan seluar yang dipakai beliau ketika berlakunya serangan maut Israel ke atas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan kesan darah yang sudah pudar jelas kelihatan walaupun sudah dicuci dua kali. - Foto BERNAMA
Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan menunjukkan seluar yang dipakai beliau ketika berlakunya serangan maut Israel ke atas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan kesan darah yang sudah pudar jelas kelihatan walaupun sudah dicuci dua kali. - Foto BERNAMA
Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan menunjukkan seluar yang dipakai beliau ketika berlakunya serangan maut Israel ke atas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan kesan darah yang sudah pudar jelas kelihatan walaupun sudah dicuci dua kali. - Foto BERNAMA

AMMAN: Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan masih menyimpan seluar yang dipakai beliau ketika berlakunya serangan maut Israel ke atas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan kesan darah yang sudah pudar jelas kelihatan walaupun sudah dicuci dua kali.

Selain merawat mereka yang cedera dan menyaksikan kematian di lantai kapal "Mavi Marmara" yang berlumuran darah, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin, Haluan Malaysia, turut diacukan pistol di kepalanya pada suatu ketika.

Beliau dan 11 lagi sukarelawan Malaysia, termasuk dua wakil media, turut menangis kegembiraan dan memeluk satu sama lain -- lega kerana semua orang selamat -- ketika bertemu semula sebelum dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel pada Rabu.

"Bagaimanapun, kesulitan dan ketegangan yang kami alami pada hari tersebut dan selepasnya dalam pertempungan secara dekat dengan tentera Israel, tidak seberapa jika dibandingkan dengan apa yang dilalui penduduk Gaza dan rakyat Palestin setiap hari sejak bertahun-tahun.

"Mereka sebenarnya layak digelar wira," kata Dr Syed Muhammad Haleem kepada Bernama ketika menceritakan insiden serangan Isnin lepas terhadap kapal bantuan yang ketika itu sedang belayar di perairan antarabangsa menuju ke Semenanjung Gaza, dengan azam memecahkan kepungan Israel di wilayah pinggir pantai berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Sentimen beliau dikongsi ketua NGO Malaysia Noorazman Mohamad Samsuddin, yang merupakan ketua biro Palestin Haluan Malaysia.

"Memang apa yang kami lalui adalah sesuatu yang luar biasa, dan semua orang akan bercakap tentangnya. Tetapi saya rasa kisah sebenar di sini masih mengenai Gaza, Palestin dan penduduknya yang sedang menderita di sana," katanya.

Melihat kepada panggilan telefon tanpa henti yang diterima bukan sahaja daripada keluarga dan teman-teman, malah pihak media di Malaysia yang ingin mendapatkan butiran mengenai pengalaman mereka, kesemua 12 sukarelawan tersebut dijangka menjadi bahan berita untuk tempoh yang agak lama.

"Kami akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk bercakap dan mengingatkan orang ramai tentang keperluan membantu saudara kita di Palestin yang sedang dijajah Israel," kata Noorazman.

"Nilai sebenar tugas kita bergantung kepada keikhlasan. Jika anda kehilangannya, apa sahaja yang anda lakukan tidak memberi sebarang makna," katanya.

Walaupun tidak boleh menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza itu secara peribadi, namun semua sukarelawan Malaysia gembira kerana serangan Israel menjelang waktu Subuh tersebut telah menyebabkan regim Tel Aviv dan layanan kejam mereka terhadap rakyat Palestin menjadi tumpuan utama dunia.

Di tengah-tengah kemarahan masyarakat antarabangsa berhubung kematian sembilan aktivis dalam insiden itu, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata keganasan Israel telah didedahkan kepada dunia melalui peristiwa berdarah di atas dek kapal Turki itu.

Insiden itu, katanya, telah membuka mata masyarakat dunia, walaupun mereka yang sebelum ini tidaklah begitu simpati dengan keadaan pahit getir rakyat Palestin.

Sukarelawan Malaysia turut menceritakan pengalaman digari selama 15 jam atau lebih dan ditendang tentera Israel. Beberapa orang daripada mereka juga telah dibogelkan ketika diperiksa.

Noorazman berkata: "Kami dipisahkan, dan jika anda bersama-sama seorang lagi rakyat Malaysia, anda dianggap bertuah. Perkara itu menyebabkan kami risau mengenai nasib yang lain. Contoh lain, kami dimarahi apabila cuba bercakap sesama sendiri."

Wartawan penyiaran Astro Awani Ashwad Ismail pula amat mengagumi semangat sukarelawan Malaysia.

"Saya banyak belajar daripada mereka. Mereka adalah kumpulan yang berdedikasi dan setiap orang mempunyai semangat juang yang kuat," kata beliau yang berusia 25 tahun dan ditemani jurukamera stesen televisyen itu, Shamsul Kamal Abdul Latip dalam konvoi tersebut.

Ashwad menyifatkan dirinya seolah-olah diberi penghormatan untuk melaporkan mengenai misi bantuan kemanusiaan itu dan beliau juga berpeluang melihat konflik Palestin dan Israel sejak berdekad lepas, dalam tempoh sehari lebih.

Penganjur konvoi kemanusiaan tersebut yang digelar "Freedom Flotilla" berkata mereka membawa bekalan ubat-ubatan, bahan binaan dan barangan sekolah ke Gaza.

Muslim Care Malaysia yang diwakili Halim Mohamed Redzuan berkata, pihaknya membawa 300 set beg sekolah dan hampir 2,000 batang pen dan pensel.

"Perkara ini, seperti yang disebut oleh penganjur bantuan kemanusiaan ke Gaza iaitu IHH, adalah bagi membuktikan bahawa konvoi ini bersifat aman," katanya.

Namun, keadaan yang berlaku selepas itu adalah sebaliknya.

Dr Syed Muhammad Haleem juga menggambarkan keadaan di atas kapal Mavi Marmara bagaikan zon perang di mana keadaan hiruk-pikuk berlaku apabila tembakan dilepaskan ke arah aktivis.

Turut diceritakan ialah bagaimana beliau terpaksa bersembahyang dengan memakai seluar yang dicemari darah ketika berhenti sekejap daripada merawat mangsa yang cedera.

Beliau juga telah disoal tentera Israel yang bersenjatakan senapang sama ada mencintai rakyat Palestin -- yang diakuinya dengan tegas.

"Ketika melihat ke dalam mata beberapa tentera Israel, saya dapat merasakan bahawa mereka sebenarnya adalah pengecut," kata doktor itu. Bagaimanapun, ujian terbesar buatnya adalah ketika beliau merawat dua komando Israel yang cedera.

"Pada mulanya, saya tidak menyedari perkara ini sehingga dimaklumkan seseorang. Bagaimanapun, sebagai seorang doktor, tugas saya adalah merawat pesakit.

"Memang terlintas juga di fikiran saya bahawa mereka adalah musuh. Bagaimanapun, tugas saya berbeza.

"Islam mengajar bahawa apabila musuh datang kepada anda sebagai tawanan, mereka perlu dilayan sebaik mungkin," katanya.

Artikel Lain