suria

Pasukan Peguam Mahu Heret Israel Ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Sepasukan peguam ditubuhkan bagi memfailkan patisyen untuk mengheret rejim Israel ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda.

Diketuai peguam Datuk Kamilia Ibrahim yang berkata, pihaknya kini dalam proses mendraf patisyen berkenaan.

"Untuk tujuan itu, kita jemput mana-mana peguam, ahli perundangan dan ahli akademik yang cintakan kedamaian bersama-sama pasukan ini.

"Apa yang Israel buat kepada aktivis misi kemanusiaan ke Gaza jelas mencabul undang-undang antarabangsa dan juga hak asasi manusia.

"Kita yakin ada peluang kerana bukti kezaliman ada, kita juga ada saksi yang masih hidup sebab apa yang berlaku sebelum ini mereka hapuskan bukti yang ada," katanya yang juga Naib Ketua Wanita Umno kepada pemberita selepas hadir pada majlis menyambut kepulangan 12 sukarelawan Mavi Marmara di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Isnin lalu 12 sukarelawan Malaysia dihumban ke Penjara Be’er Sheva di Israel selepas kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan diserang komando rejim itu.

Dalam serangan itu, sembilan sukarelawan terbunuh.

Kumpulan berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Istanbul pada jam 5.40 pagi tadi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Artikel Lain