suria

Syed Hamid Dilantik Pengerusi SPAD

PETALING JAYA: Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Sumber terdekat kepada Syed Hamid mengesahkan bahawa pelantikannya sebagai pengerusi suruhanjaya berkenaan mula berkuat-kuasa 1 Jun lalu.

Bagaimanapun difahamkan Pejabat Perdana Menteri hanya akan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung pelantikan berkenaan esok.

"Ya memang benar, tapi saya fikir anda patut tunggu sehingga pengumuman rasmi dibuat pada Ahad ini (esok).

"Saya juga dimaklumkan bahawa Perdana Menteri akan mengumumkan senarai lantikan bagi suruhanjaya berkenaan," kata sumber berkenaan yang turut memaklumkan bahawa satu sidang media juga akan diadakan minggu depan berhubung perkara berkenaan.

Syed Hamid ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan berhubung pelantikan berkenaan namun berkata: "Tunggu dan lihat."

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu sebelum ini pernah menjadi Menteri Luar dari Januari 1999 sehingga Mac 2008 dan kemudiannya sebagai Menteri Dalam Negeri sehingga April 2009.

Bermula 1 Jun, SPAD di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 akan bertanggungjawab penuh memastikan mutu perkhidmatan pengangkutan awam meliputi darat termasuk kereta api dilaksanakan dengan lebih mantap demi keselesaan pengguna.

SPAD akan mengurus, mentadbir, memantau serta menyelaras segala urusan pengangkutan awam darat merangkumi kenderaan perdagangan dan persiaran termasuk menggunakan rel seperti kereta api dan sistem transit aliran ringan (LRT).

Sebelum beberapa nama disebut-sebut bakal menduduki jawatan Pengerusi SPAD iaitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K Devamany dan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Halimah Sadique.

Artikel Lain