suria

Soal-Jawab Bersama Hishammuddin Tentang Tinjauan Mesra Najib Di SS2

PUTRAJAYA: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan Soal Jawab ini dalam temu bualnya dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tentang program tinjauan mesra Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di SS2, Petaling Jaya, pada Rabu, 2 Jun.

Soalan (S): Baru-baru ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) melakukan tunjauan mesra ke Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya dan kawasan sekitarnya. Boleh Datuk Seri jelaskan perkara penting yang tersirat di sebalik kunjungan Perdana Menteri itu?

Jawapan (J): Pertama sekali, bagi pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi mencari masa daripada kesibukan beliau untuk melawat Balai Polis Sea Park dan melakukan tinjauan mesra secara mengejut ke kawasan sekitarnya.

Kebanyakan mereka yang hadir bukan saja terkejut, malah gembira kerana Perdana Menteri memberi tumpuan khusus terhadap usaha membasmi jenayah di negara ini dan telah turun padang untuk melihat sendiri bagaimana usaha memerangi jenayah dilaksanakan.

Sebenarnya, ia merupakan suatu sejarah kerana inilah kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia melakukan lawatan ke satu daripada 40 balai polis di 50 kawasan panas bagi meninjau sendiri kemajuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (PTK) mengenai usaha mengurangkan jenayah.

Lawatan itu juga memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk melihat "secara langsung" beberapa inisiatif di bawah NKRA, seperti pengerahan semula para pegawai polis daripada tugas-tugas bukan teras kepada tugas-tugas kepolisan serta balai polis bergerak kami.

S: Boleh Datuk Seri nyatakan tentang pencapaian NKRA dalam mengurangkan kadar jenayah?

J: Seperti yang anda sedia maklum, di bawah Makmal Jenayah, lebih kurang 55 inisiatif telah dikenal pasti bagi membantu mencapai sasaran untuk menurunkan indeks jenayah sebanyak lima peratus dan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada 2010.

Saya gembira kerana hampir kesemua 55 inisiatif berkenaan telah dilaksanakan di pelbagai peringkat dan telah menghasilkan pencapaian ketara daripada segi penurunan indeks jenayah.

Sebagai contoh, pemantauan yang kami buat secara suku tahunan (membandingkan pencapaian dalam tempoh suku tahun dengan tempoh suku tahunan asas iaitu suku kedua 2009), kami dapati, di seluruh negara, indeks jenayah telah mencatat penurunan yang menggalakkan iaitu lebih kurang sebanyak 15.1 peratus, manakala jenayah jalanan pula menurun sebanyak 39.6 peratus.

Penurunan kadar jenayah ini juga menjadi bukti tentang keberkesanan strategi dan pendekatan kami dalam memerangi jenayah. Sebagai langkah pertama, kami menganalisis statistik bagi mengenal pasti 50 kawasan yang paling banyak berlaku kes jenayah, yang kami labelkan sebagai titik panas. Kemudian, kawasan ini dipecahkan mengikut balai polis.

Selepas itu, makmal berkenaan akan menggubal kaedah penyelesaian secara holistik dan menyeluruh bagi memerangi jenayah, yang meliputi bidang seperti pencegahan, pendakwaan, hukuman dan pemulihan.

Daripada segi pelaksanaan, kami juga telah melaksanakan inisiatif bagi menambah jumlah pegawai penguatkuasaan di jalan-jalan raya.

Ini dilakukan melalui penggemblengan usaha, yang antara lain melibatkan pengerahan anggota PGA (Pasukan Gerak Am) daripada tugas lain bagi membuat rondaan jalan raya; melatih anggota pasukan sukarela separa tentera awam (Rela) dan pertahanan awam (Jabatan Pertahanan Awam) untuk menjadi anggota PVR (Pasukan Sukarelawan Polis); bekerjasama dengan sektor korporat bagi menggunakan khidmat polis bantuan mereka bagi membantu dalam tugas rondaan mencegah jenayah; memanfaatkan sepenuhnya kecanggihan teknologi dengan menyelaraskan penggunaan semua CCTV milik pelbagai kementerian dan pihak berkuasa tempatan dan menganalisis prestasi yang dicapai, di samping langkah terbaru kami iaitu memberi tugas baru kepada para pegawai polis yang sebelum ini melakukan tugas-tugas bukan teras.

Kesemua usaha ini merupakan tindakan penegasan yang dilakukan dengan penuh komited oleh kerajaan bagi memenuhi janjinya untuk menurunkan kadar jenayah dengan ketara, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.

S: Bagaimana pula dengan inisiatif pengerahan semula? Boleh Datuk Seri jelaskan cara langkah ini dilaksanakan?

J: Langkah pengerahan semula ini, inisiatif terbaru yang kami laksanakan, digubal bagi membantu mencapai sasaran kerajaan untuk mengurangkan jenayah dalam jangka masa singkat, seperti yang terkandung dalam PTK.

Ia menjadi pelengkap kepada pelbagai langkah lain yang sedang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri serta agensi di bawahnya bagi meningkatkan kehadiran polis di lapangan, terutama di titik panas.

Inisiatif ini melibatkan pemberian latihan kepada anggota Rela dan JPAM untuk menjadi anggota PVR, pengerahan semula anggota PGA dan mengadakan kerjasama rapat dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memaksimumkan penggunaan khidmat polis bantuan mereka.

Melalui inisiatif ini juga, polis dan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) menimbang kemungkinan untuk meningkatkan kehadiran anggota polis di lapangan dengan membuat penilaian semula tentang keberkesanan para pegawai polis dalam menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan perkeranian dalam konteks mengurangkan kadar jenayah.

Selepas itu, keputusan dibuat bahawa pengerahan semula para pegawai polis daripada tugas-tugas bukan teras untuk digantikan dengan orang awam akan memberi keuntungan kepada semua pihak yang terlibat, tanpa melibatkan sebarang kos. Bagi polis, langkah berkenaan akan menaikkan semangat mereka yang terbabit dengan pengerahan semula itu kerana kini, mereka boleh memberi fokus terhadap tugas teras mereka dan membantu menyumbang ke arah meningkatkan keberkesanan pasukan itu.

Bagi orang awam, langkah itu akan membantu mereka daripada segi penggunaan sumber sedia ada dengan lebih berkesan. Orang ramai pula mendapat manfaat segera melalui kehadiran lebih banyak anggota polis di jalan raya.

Bagi melaksanakan inisitif perintis ini, sebuah jawatankuasa kerja peringkat tinggi antara agensi telah dibentuk pada November tahun lepas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara. Jawatankuasa ini dianggotai antara lain oleh Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Peguam Negara, polis dan JPA.

Daripada segi pelaksanaan, polis telah mengenal pasti kira-kira 7,402 pegawainya yang selama ini menjalankan tugas bukan teras boleh dikerahkan dengan segera untuk menjalankan tugas pencegahan jenayah. Tempat mereka akan diambil alih oleh 4,279 orang awam.

Inisiatif perintis ini diambil pada Januari, sebelum dilaksanakan pada Februari di 50 titik panas yang telah dikenal pasti, dan dilaksanakan di seluruh negara pada Mei.

Langkah ini menjadi bukti tentang komitmen kerajaan untuk bertindak secara inovatif dan kreatif dalam memberi respons terhadap keperluan dan keinginan rakyat.

Kami sedar bahawa kaedah tradisional bagi melaksanakan langkah itu memerlukan kami mengambil dan melatih anggota polis yang baru. Tetapi, sejajar dengan fokus kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan dan hasil kepada rakyat, cara tradisional itu nampaknya memerlukan perbelanjaan yang besar untuk dilaksanakan.

Oleh itu, langkah yang diambil ini dianggap suatu revolusi, bukan saja kerana ia bersifat inovatif dan suatu pendekatan bercorak "di luar kotak" dalam menyediakan penyelesaian, tetapi juga suatu langkah yang boleh dilaksanakan dengan cepat serta melibatkan kerjasama antara pelbagai agensi di peringkat paling tinggi.

Daripada segi hasilnya pula, langkah ini didapati telah menyumbang secara langsung kepada penurunan indeks jenayah di jalanan. Dalam tempoh suku tahun pertama 2010, kami dapati indeks jenayah menurun sebanyak 15.1 peratus, manakala jenayah jalanan pula berkurangan sebanyak 39.6 peratus.

Semua ini memang sepadan dengan pelbagai inisiatif yang telah kami ambil.

S: Boleh Datuk Seri jelaskan kenapa Balai Polis Sea Park dipilih untuk melancarkan urusan pengerahan semula itu? J: Balai Polis Sea Park dipilih kerana ia adalah antara 40 balai polis yang terletak di 50 titik panas yang telah dikenal pasti. Selain itu, kami juga ingin memberi pengiktirafan kepada balai polis yang telah menyaksikan penurunan kadar jenayah secara drastik.

Contohnya, kami dapati, secara tahunan, dari Januari hingga Mei 2010, jumlah jenayah jalanan mencatat penurunan sebanyak 21.4 peratus, manakala keseluruhan indeks dalam bidang itu menyaksikan pengurangan sebanyak 17.2 peratus.

Tidak kurang pentingnya, kami ingin memperlihatkan hasil yang telah dicapai daripada urusan pengerahan semula anggota polis dengan penurunan kadar jenayah.

Balai polis berkenaan juga dipilih kerana ia adalah antara beberapa balai polis yang mengambil orang awam bagi menggantikan pegawai polis yang sebelum ini menjalankan tugas bukan teras.

S: Bagaimana pula respons orang ramai terhadap tinjauan mesra itu?

J: Kami menerima beberapa respons yang sangat positif. Sebagai menteri, saya juga telah membuat tinjauan mesra, tapi inilah kali pertama melibatkan Perdana Menteri.

Nampaknya rakyat menghargai usaha kami yang benar-benar ingin menemui dan mendengar masalah serta isu mereka, khususnya isu berhubung keselamatan dan keselamatan awam.

Melalui interaksi yang dibuat, kami juga boleh mendengar sendiri idea dan cadangan mereka mengenai cara untuk menambah baik usaha kami dalam memerangi jenayah kerana isu ini melibatkan setiap orang.

Saya juga mendapat tahu bahawa ada orang yang tidak sangka Perdana Menteri akan turut serta dalam tinjauan mesra itu.

Ini jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen pentadbiran baru dalam mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

S: Boleh tak Datuk Seri berkongsi dengan kami rancangan Datuk Seri pada masa akan datang untuk memerangi jenayah? Apakah pula langkah yang akan dilaksanakan selepas ini?

J: Seperti yang saya nyatakan tadi, Kementerian Dalam Negeri telah mula melaksanakan semua inisiatif yang dikenal pasti oleh Makmal Jenayah.

Selain memberi fokus dan penekanan terhadap usaha menambah kehadiran dan jumlah anggota di lapangan, inisiatif lain seperti pendakwaan, hukuman dan pemulihan juga sedang dilaksanakan.

Inisiatif ini akan diumumkan secara berkala bagi mempamerkan komitmen kami dalam mengurangkan jenayah dalam konteks sistem keadilan jenayah yang menyeluruh.

Daripada segi pendekatan pula, kami akan terus menggunakan penyelesaian bersifat kreatif dan inovatif dalam melaksanakan inisiatif berkenaan bagi mencapai kesan serta hasil maksimum.

Contohnya, melalui program pemulihan, kami telah mengadakan rundingan peringkat lanjutan dengan Kementerian Pertahanan bagi meneroka kemungkinan mengadakan kerjasama untuk mewujudkan skim hukuman melakukan kerja kemasyarakatan, di mana banduan akan bekerja di kem tentera di bawah pengawasan ketat pegawai penjara dan anggota tentera.

Di samping boleh membantu mengurangkan kesesakan di penjara kita, langkah ini juga boleh membantu tentera menjimatkan kos penyenggaraan, menjana lebih banyak pendapatan bagi banduan dan membantu meningkatkan keberkesanan kami dalam mencegah jenayah.

Kerjasama bersifat menang-menang ini akan memberi kuasa pacuan kepada inisiatif yang kami laksanakan.

Di pihak polis, mereka juga telah mencadangkan inovsi baru dan kreatif untuk terus mara ke hadapan, yang bertumpu pada usaha mengenal pasti bidang khusus bagi setiap kontinjen negeri.

Ini sejajar dengan usaha berterusan kami untuk memberi perkhidmatan keselamatan bertaraf dunia kepada rakyat.

Contohnya, ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur telah dikenal pasti untuk dijadikan sebuah organisasi kepolisan premier, sejajar dengan transformasi Kuala Lumpur dalam Model Baru Ekonomi; Selangor sebagai model kepolisan berasaskan masyarakat dan Pulau Pinang sebagai model kepolisan yang menggunakan teknologi tinggi.

Akhir sekali, kami memerlukan penyertaan setiap orang, terutama anggota masyarakat, di mana terletaknya titik panas. Kami mahu orang ramai menjadi sebahagiaan daripada pasukan menentang jenayah di negara ini.

Sejak tahun lepas, kami meletakkan pembabitan masyarakat sebagai agenda utama dalam usaha berterusan kami dan di sinilah pertubuhan seperti Rukun Tetangga dan persatuan penduduk boleh sama-sama memainkan peranan mereka dengan berkesan. - BERNAMA

Artikel Lain