suria

Remaja Lelaki Mati Lemas, Dua Adik Perempuannya Tenat

LUMUT: Seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun mati lemas, manakala dua adik perempuannya tenat apabila dipukul ombak besar semasa bermandi-manda di pantai peranginan Teluk Senangin, Segari, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jamil Osman berkata kejadian itu berlaku semasa ketiga-tiga mereka sedang berkelah bersama ahli keluarga di pantai berkenaan pada kira-kira 2.20 petang.

"Ketika mereka sedang asyik mandi manda, satu ombak besar secara tiba-tiba memukul pantai. Kejadian itu disedari ayah mereka Kamaruddin Marbawi yang berada berhampiran, tetapi beliau hanya sempat menyelamatkan dua anak perempuannya,” kata Mohd Jamil kepada pemberita di sini.

Mangsa, Khairul Afizi Kamaruddin, yang merupakan anak sulung, hilang dibawa ombak, dan dijumpai terdampar tidak jauh dari tempat kejadian oleh pasukan bomba dan penyelamat yang tiba ke tempat kejadian setengah jam selepas kejadian, katanya.

Mohd Jamil berkata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Manjung dekat sini meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM). Dua adik mangsa, Saidatul, 15, dan Dalilah, 14, dimasukkan ke unit rawatan rapi HSM dan dilaporkan masih kritikal, katanya.

Mayat Khairul Afizi dituntut ayahnya pada pukul 6 petang selepas dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Imran Ahmad berkata sepasukan sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian sejurus mendapat maklumat.

Beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada apabila mandi di kawasan pantai berikutan musim hujan yang menyebabkan ombak besar sering melanda pantai. - BERNAMA

Artikel Lain