suria

Rachel Corrie Selamat, Dijangka Masuki Perairan Gaza 2 Petang

PETALING JAYA: Kapal Rachel Corrie yang sedang dalam perjalanan misi bantuan kemanusiaan berada dalam keadaan selamat dan dijangka memasuki perairan Gaza kira-kira pukul 2 petang ini waktu Malaysia.

Penasihat Perdana Global Peace Organization (PGPO), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sehingga kini beliau difahamkan semua sukarelawan yang berada di atas kapal berkenaan selamat dan sekaligus menafikan dakwaan Rachel Corrie dikepung atau menerima ancaman tentera laut Israel.

"Maklumat terakhir yang saya peroleh dua jam lepas mengatakan semuanya selamat dan jika tak ada apa-apa masalah saya jangkakan pada ketika ini mereka sudah semakin hampir dengan persisir pantai Gaza.

"Mungkin media menggunakan pelbagai istilah sama ada Rachel Corrie dikepung atau dipintas, tapi sehingga apa yang dimaklumkan, kapal berkenaan selamat dan masih meneruskan pejalanan mereka," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat tiga buah kapal yang dipercayai milik tentera laut Israel mengekori Rachel Corrie sejak kira-kira pukul 3 pagi waktu di Gaza.

"Memang ada tiga kapal yang kami percaya milik Israel sedang mengekori Rachel Corrie sejak tiga ke empat jam lepas, tapi mereka sekadar mengekori... bukan mengepung ataupun cuba memintas," katanya.

Kapal Rachel corrie itu membawa 1,500 tan pelbagai bantuan termasuk makanan, poerubatan dan bahan binaan kepada penduduk Gaza dalam misi tersebut.

Rakyat Malaysia yang berada di atas kapal kargo tersebut ialah Matthias Chang, sukarelawan PGPO Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu. Turut berada dalam kapal berkenaan Ahli Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, Wartawan TV3 Halim Mohd dan jurukamera, Mohd Jufri Judin.

Artikel Lain