suria

Polis Tumpas Sindiket Pecah Rumah Warga Indonesia

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pecah rumah 'Geng Fendi' yang didalangi warga asing dengan tertangkapnya lima lelaki warga Indonesia dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang pada Rabu lepas.

Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 2 petang pada Rabu lepas, polis menahan tiga lelaki berusia 23 hingga 43 tahun di dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di sekitar Keramat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Abdul Jalil Hassan berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut, polis menemui sebilah sabit dan sebilah pisau dipercayai digunakan sebagai senjata untuk melakukan samun.

"Masa ditahan, mereka sedang melilau-lilau di kawasan tersebut dan hasil soal siasat, mereka mengaku sedang dalam perancangan untuk mencari sasaran bagi menjalankan aktiviti pecah rumah," katanya.

Ekoran penahanan tiga lelaki itu, semalam kira-kira pukul 7 pagi, polis telah menyerbu sebuah rumah setinggan di kawasan Ampang Tasik dan menahan dua lagi lelaki berusia 23 dan 24 yang merupakan anggota sindiket tersebut.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan, polis merampas dua utas gelang tangan emas, seutas rantai leher, lima buah telefon bimbit, dua buah kamera digital, dua keping lesen memandu, sebuah monitor komputer, 19 utas jam tangan, pemain DVD dan sebuah kamus digital.

"Kesemua suspek yang berstatus penduduk tetap tinggal bersama di rumah setinggan tersebut serta bekerja sebagai buruh dan menjalankan kegiatan samun pada waktu malam, ketika penghuni rumah tiada," katanya.

Abdul Jalil berkata sindiket tersebut telah bergiat aktif sejak tahun 2009 dan sekurang-kurangnya 50 kes pecah rumah dan samun di sekitar Ampang Jaya berjaya diselesaikan dengan penahanan kesemua suspek.

Katanya, kesemua suspek yang tiada sebarang rekod jenayah lampau, direman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain