suria

Lelaki Buang Kotak Bijiran Mengandungi Dadah Dicekup

KUALA LUMPUR: Tindakan dua lelaki yang membuang kotak bijirin ke luar tingkap kereta secara tiba-tiba apabila dihampiri polis terjawab apabila kotak tersebut rupa-rupanya berisi sejumlah dadah jenis Eramin 5.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi hari ini, hasil maklumat orang awam, polis mengesan sebuah kereta Proton Wira yang berhenti di tepi jalan gelap dalam keadaan mencurigakan di Jalan Perdana 10/14, Pandan Perdana, Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Abdul Jalil Hassan berkata ketika polis menghampiri kereta tersebut, seorang daripada suspek tiba-tiba mencampakkan keluar satu kotak bijirin 'Nestle Koko Krunch' dan gagal melarikan diri apabila tidak sempat menghidupkan enjin kereta.

"Hasil pemeriksaan di dalam kotak tersebut menemui 180 papan pil Eramin 5 seberat 475 gram yang mengandungi 1,800 biji pil tersebut yang dianggarkan berharga RM23,400 di pasaran.

"Kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 25 tahun itu didapati menjual sepapan pil tersebut dengan harga RM130 atau sebiji pada harga RM15 hingga RM20 dan dipasarkan di kawasan Ampang dan Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata polis sedang menyiasat sama ada suspek sedang menunggu pelanggan ketika kejadian dan hasil siasatan polis percaya suspek mendapat bekalan pil tersebut dari kawasan Puchong, Selangor.

Katanya, hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek yang bekerja sebagai penarik kereta dan buruh mendapati mereka positif dadah ketamin.

Sementara itu, polis menahan seorang pemandu teksi bersama kekasihnya yang merupakan pengedar ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kosas, Ampang Jaya semalam.

Dalam serbuan kira-kira 10.15 pagi itu, polis menemui lima bungkusan keratan akhbar yang mengandungi paket lutsinar berisi daun kering dipercayai ganja seberat 341 gram.

Abdul Jalil berkata hasil pemeriksaan di dalam teksi milik lelaki itu turut menemui sepaket plastik mengandungi ganja seberat 1.8 gram di bawah tempat duduk pemandu.

"Nilai keseluruhan ganja tersebut ialah RM2,700 dan suspek dipercayai aktif mengedar ganja sejak setahun lalu untuk pasaran Lembah Klang dan Ampang.

"Pemandu teksi tersebut positif ganja dipercayai mendapat bekalan dari lelaki warga Indonesia dari Aceh di Jalan Chow Kit," katanya.

Katanya, lelaki tersebut yang mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah telah tinggal serumah bersama teman wanitanya yang bekerja sebagai pemotong daging khinzir sejak empat tahun yang lalu.

Kesemua suspek dalam kedua-dua kes direman selama seminggu bermula hari ini serta siasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain