suria

KDN Kaji Skim Hukuman Kerja Kemasyarakatan Bagi Banduan Di Kem Tentera

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan skim hukuman melakukan kerja kemasyarakatan iaitu banduan akan bekerja di kem-kem tentera di bawah pengawasan ketat pegawai penjara dan anggota tentera.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kedua-dua kementerian telah mengadakan rundingan peringkat lanjutan bagi meneroka kemungkinan mengadakan kerjasama untuk mewujudkan skim hukuman melakukan kerja kemasyarakatan itu.

"Ini merupakan satu daripada inisiatif yang sedang dikaji oleh Kementerian Dalam Negeri dalam memerangi jenayah," katanya dalam sesi soal jawab dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), transkrip temu bual itu dikeluarkan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata program itu akan dapat membantu mengurangkan kesesakan di penjara di samping boleh membantu tentera menjimatkan kos, menjana lebih banyak pendapatan bagi banduan dan membantu meningkatkan keberkesanan kerajaan dalam mencegah jenayah.

"Kerjasama bersifat menang-menang ini akan memberi kuasa pacuan kepada inisiatif yang kami lakukan," katanya.

Hishammuddin berkata selain memberi fokus dan penekanan terhadap usaha menambah kehadiran dan jumlah anggota polis di kapangan," inisiatif lain kami seperti pendakwaan, hukuman dan pemulihan juga sedang dilakukan.

"Kami akan terus menggunakan penyelesaian bersifat kreatif dan inovatif bagi mencapai kesan dan hasil maksimum," katanya.

Beliau berkata polis juga telah mencadangkan inovsi baru dan kreatif untuk terus mara ke hadapan, yang bertumpu pada usaha mengenal pasti bidang khusus bagi setiap kontinjen negeri.

"Ini sejajar dengan usaha berterusan kami untuk memberi perkhidmatan keselamatan bertaraf dunia kepada rakyat," katanya.

Contohnya, ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur telah dikenal pasti untuk dijadikan sebuah organisasi kepolisan premier, sejajar dengan transformasi Kuala Lumpur dalam Model Baru Ekonomi; Selangor sebagai model kepolisan berasaskan masyarakat dan Pulau Pinang sebagai model kepolisan yang menggunakan teknologi tinggi.

"Akhir sekali, kami memerlukan penyertaan setiap orang, terutama anggota masyarakat, di mana terletaknya titik panas. Kami mahu orang ramai menjadi sebahagiaan daripada pasukan menentang jenayah di negara ini," katanya.

Hishammuddin berkata sejak tahun lepas, kementerian meletakkan pembabitan masyarakat sebagai agenda utama dalam usaha berterusan kami dan di sinilah pertubuhan seperti Rukun Tetangga dan persatuan penduduk boleh sama-sama memainkan peranan mereka dengan berkesan. - BERNAMA

Artikel Lain