suria

Aminulrasyid: Laporan Penuh Dijangka Siap Julai Ini

PETALING JAYA: Laporan penuh berhubung siastan punca kematian Aminulrasyid Hamzah yang dijalankan oleh sebuah panel khas yang diwujudkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya Julai ini.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman, pihaknya masih belum menyiapkan laporan penuh kerana mereka masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan. "Kami masih lagi meneliti Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) mengenai penggunaan senjata.

"Sesi Parlimen akan berakhir pada penghujung bulan Julai. Insya-Allah kita jangka laporan penuh dapat disiapkan menjelang akhir bulan Julai nanti,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung siasatan kematian kes Aminulrasyid yang dijalankan sejak bulan Mei yang lalu.

Mengulas lanjut, Abu Seman yang juga pengerusi panel berkenaan berkata, sebaik sahaja siasatan penuh selesai panel tersebut memerlukan sedikit masa untuk menyiapkan laporan penuh kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Abu Seman turut mengesahkan laporan awal berhubung siasatan kes kematian Aminulrasyid telah pun diserahkan kepada Kabinet pada 10 Mei yang lalu untuk dibincangkan oleh jemaah menteri.

Pada 26 April lalu, Aminulrasyid meninggal dunia selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri ketika cuba ditahan di Seksyen 11 di Shah Alam.

Dalam kejadian itu, polis dikatakan mengejar kereta yang dipandu remaja itu sejauh enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum ia terbabas.

Rakan mangsa Azamuddin Omar, 15, berada di tempat duduk di sebelah pemandu semasa kejadian berlaku.

Berikutan itu, panel khas yang diketuai Abu Seman telah ditubuhkan bagi memantau siasatan insiden kes kematian Aminulrasyid secara terperinci.

Artikel Lain