suria

Serang Kapal, Kekejaman Israel Jelas Terbukti - Anifah

AMMAN: Sambil memuji keberanian 12 sukarelawan Malaysia menghadapi serangan tentera Israel semasa berada di atas kapal menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kejadian tersebut telah membuka mata dunia tentang kekejaman rejim Israel.

Beliau berkata bagi sesetengah masyarakat di Eropah misalnya, mereka mungkin tidak begitu simpati dengan penderitaan rakyat Palestin selama ini, tetapi dengan serangan sebelum Subuh Isnin lalu itu telah membuka mata, telinga dan fikiran mereka.

"Kita sangat berharap ia akhirnya akan membawa masa depan yang lebih cerah kepada penduduk di Gaza dan Palestin keseluruhannya," katanya.

Anifah bercakap semasa bertemu dengan para sukarelawan tersebut yang dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel pada pagi Rabu, sebaik beliau tiba dari Amman pada sebelah petang.

Beliau dan ketua kumpulan tersebut Noor Azman Muhamad Samsuddin turut bercakap menerusi telefon dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berada di Laos atas lawatan rasmi.

Noor Azman didengar memberitahu Najib apa yang berlaku semasa serangan tersebut di samping mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan membebaskan para sukarelawan Malaysia.

Anifah berada di Amman untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jordan di atas bantuan mereka dalam manjamin laluan selamat kepada sukarelawan Malaysia yang ditahan bersama ratusan yang lain, keluar dari Israel.

Semasa pertemuan di kediaman Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz, doa kesyukuran turut dibacakan di atas pembebasan para sukarelawan Malaysia dan kepada mereka yang terbunuh dalam serangan tentera rejim ke atas kapal milik Turki, Mavi Marmara di dalam kawasan perairan antarabangsa.

Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terkorban dalam serangan tersebut yang sekaligus menimbulkan bantahan antarabangsa termasuk Malaysia.

"Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya sangat berbangga bahawa rakyat turut terlibat dalam usaha antarabangsa untuk memecah sekatan yang dikenakan di Gaza oleh rejim Zionis selama tiga tahun lalu," kata Anifah.

Bagi pihak sukarelawan Malaysia pula, Noor Azman menceritakan kembali detik serangan itu kepada mereka yang berada di majlis berkenaan, dengan berkata versi Israel mengenai kejadian tersebut hanya berupa pembohongan semata-mata.

Beliau turut menolak dakyah Israel bahawa mereka yang berada di atas kapal tersebut telah melakukan keganasan.

"Macam mana ini boleh berlaku apabila di antara mereka terdapat seorang bayi yang berusia dua bulan setengah dan mereka yang berumur melebihi 80 tahun. Tiada siapa yang akan membawa seorang bayi bersama jika berniat untuk melakukan kegansan kepada orang lain," kata Noor Azman.

Beliau berkata mereka bersyukur kerana setelah dibebaskan, pihak Israel telah dikeji dunia di atas perbuatan mereka tersebut. Anifah turut berkata usaha akan dilakukan untuk mendesak Israel supaya membayar ganti rugi kepada sukarelawan Malaysia.

Kebanyakan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang apabila menyeberang sempadan masuk ke Jordan.

Kamera video petugas televisyen Astro Awani turut dirampas oleh pihak Israel.

"Kita akan meminta pakar hak asasi manusia kita untuk melihat bagaimana ia boleh dilakukan," kata Anifah dan menambah pihak yang bertanggungjawab tidak akan terlepas dari perbuatan mereka.

Beliau turut menyebut tentang keperluan untuk mengadakan program khas bagi membolehkan 12 sukarelawan tersebut menceritakan semula kejadian di atas kapal Mavi Marmara itu kepada rakyat Malaysia.

"Mungkin terdapat rakyat Malaysia atau orang lain yang tidak sependapat dengan kita tentang rejim Zionis. Program seumpama itu diharap dapat mengubahnya," katanya.

Anifah turut mengingatkan pihak yang mahu menyertai misi kemanusiaan yang serupa di masa depan supaya terlebih dahulu memalumkannya kepada Kementerian Luar.

Ini penting sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, katanya.

Kepulangan para sukarelawan Malaysia itu ke tanah air sedang diuruskan. - BERNAMA

Artikel Lain