suria

Raptai Perarakan Panji-Panji Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR: Raptai penuh Perarakan Panji-Panji sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini berjalan lancar.

Seramai 23 pegawai dan 505 anggota lain-lain pangkat dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil bahagian dalam raptai itu yang diadakan sebelum acara Perarakan Panji-Panji sempena ulang tahun itu esok.

Majlis esok akan turut dihadiri oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Tinjauan Bernama mendapati anggota dan pegawai pasukan kawalan kehormatan dari ATM sedang berlatih bersungguh-sungguh di Dataran Merdeka dan beberapa khemah yang akan menempatkan tetamu kehormat turut dipasang.

Ketua Pengawal Nombor 3, Mejar Mohd Zairul Hisham Muhamad Ibrahim berkata latihan perbarisan sempena sambutan itu yang bermula 29 Mei lepas begitu selesa dan berjalan lancar.

Sarjan Mejar Mohd Farizal yang berasal dari Kedah berkata beliau berasa terharu kerana setiap tahun dipilih untuk menyertai sambutan itu.

"Ini masuk tahun ke-16 saya sertai sambutan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong... dengan peluang yang diberi, saya akan lakukan yang terbaik agar sambutan kali ini lebih meriah," katanya.

Mohd Shaharuddin Shaari yang mengetuai pancaragam gabungan ATM berkata latihan yang dilakukan sejak dua minggu lepas merupakan satu semangat untuk memantapkan lagi latihan yang dilakukan.

"Latihan ini bermula lebih awal bagi memberi persediaan kepada anggota untuk lakukan yang terbaik. Dalam satu hari kita lakukan dua kali latihan, tertakluk pada prestasi yang dilakukan anggota," katanya.

Artikel Lain