suria

Polis Johor Tahan Tiga Lelaki Curi Klip Landasan Kereta Api

JOHOR BAHARU: Polis menahan tiga lelaki dipercayai mencuri klip landasan kereta api bernilai RM50,000 di Km25, laluan Kempas-Pasir Gudang di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata ketiga-tiga lelaki itu ditahan pada 2.30 petang selepas anggota polis bantuan yang melakukan rondaan di sekitar landasan itu terserempak dengan mereka.

"Pemeriksaan menemui lima kampit plastik mengandungi 205 klip landasan. Polis turut merampas sebuah kereta jenis Ford yang digunakan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata siasatan mendapati dua daripada tiga lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu curi kenderaan, dadah dan cabul.

Kesemua suspek berumur 31 hingga 35 tahun itu juga adalah penagih dadah, katanya.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan tiga lelaki yang disyaki menyamun pemilik premis yang diiklankan untuk disewa selepas menyerbu dua buah rumah di Taman Sentosa, di sini dan Pekan Labis, dekat Segamat, Selasa lepas.

Katanya modus operandi ketiga-tiga lelaki itu adalah dengan menyamar sebagai penyewa rumah atau kedai yang diiklan sebelum menyamun pemilik premis.

"Polis merampas pelbagai jenis barangan termasuk satu televisyen jenama Philip, 10 jam tangan, barang kemas, tujuh kamera pelbagai jenama, satu alat pencetak, teropong, radio, dua telefon bimbit dan sembilan pemain cakera padat video digital (DVD).

"Turut dirampas, beberapa jenis arak, sepucuk pistol tiruan, satu plastik lutsinar berisi peluru hitam, dua penghawa dingin, seterika, mesin taip dan sebuah kereta Perodua Myvi," katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati kegiatan samun itu dilakukan di sekitar bandar raya ini dan hasil samun itu disembunyikan di rumah di Pekan Labis berkenaan.

Katanya, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes samun dan 45 kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini, Segamat dan Kulaijaya dengan penahanan ketiga-tiga lelaki berumur 23 hingga 52 tahun itu. - BERNAMA

Artikel Lain