suria

APMM Pulau Pinang Rampas Ubat Dan Kosmetik Seludup Bernilai RM75,000

PULAU PINANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya merampas 3,927 kotak mengandungi pelbagai jenis kosmetik dan ubat bernilai RM75,000 dari sebuah tongkang yang didaftarkan di Indonesia, dipercayai untuk diseludup masuk ke negara ini.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim negeri Komander Robert Teh Geok Chuan berkata rampasan itu dibuat ketika pasukan APMM mengadakan rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang pada 12.45 tengah hari 2 Jun lepas.

Ketika diserbu, tongkang 'Setia Jaya' itu berada 0.3 batu nautika dari Pelabuhan Dermaga Laut, Butterworth, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Teh berkata kesemua kotak kosmetik dan ubat itu merupakan barangan terlarang kerana tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan tiada notifikasi daripada Pengarah Perkhidmatan Farmasi.

"Semua ubat tradisional dan kosmetik seperti ubat kuat, jamu dan losyen itu ditemui di bawah gerabak tongkang kayu yang membawa sayuran," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun selepas pemeriksaan dilakukan, kesemuanya 12 anak kapal warga Indoensia itu dilepaskan kerana mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya APMM meneruskan siasatan bagi mencari ejen dan pengimport barangan itu. - BERNAMA

Artikel Lain