suria

Wanita Rentung Dalam Kemalangan Di Cheras

KUALA LUMPUR: Seorang wanita rentung dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Cheras, di sini awal hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi berhampiran velodrome Cheras itu, kereta Myvi wanita terbabit dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan sebelum dirempuh sebuah lori sayur tiga tan.

"Polis masih berusaha mengenal pasti identiti wanita terbabit melalui nombor pendaftaran keretanya," kata pegawai penyiasat trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning.

Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios yang dipercayai dipandu laju oleh seorang lelaki berusia 33 tahun terbabas dan memasuki laluan bertentangan menyebabkannya melanggar kereta Myvi terbabit.

Pemandu kereta terbabit dan seorang wanita yang menaiki kereta itu cedera parah dan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Akibat pelanggaran pertama, kereta Myvi itu berpusing beberapa kali sebelum dilanggar sebuah lori sayur tiga tan dari arah belakang menyebabkan kereta itu terbakar," katanya.

Pemandu dan penumpang lori terbabit tidak cedera.

Mayat wanita itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain