suria

Tujuh Pelajar Ditahan Kes Pecah Sekolah

PASIR MAS: Tujuh pelajar dan seorang pemuda ditahan bagi membantu siasatan kes pecah rumah dan sekolah yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Haliludin Rahim berkata, kesemua pelajar dan pemuda tersebut ditahan dalam operasi yang berasingan iaitu di Rantau Panjang dan Bunut Susu dekat sini.

"Di Rantau Panjang dua pelajar ditahan iaitu berusia 17 dan 14 tahun serta seorang pemuda berusia 17 tahun yang tidak bersekolah ditahan bagi membantu siasatan kes pecah masuk sekolah yang berlaku di Rantau Panjang pada 27 Mei lepas.

"Kesemua suspek di percayai pecah masuk ke dalam sekolah dan berjaya mencuri sebuah peti televisyen jenama JVC, satu pemain DVD, sebuah mesin cetak dan satu pemotong besi," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata tiga suspek itu ditahan di rumah masing-masing semalam pukul 3 pagi dan ketiga-tiga mereka didapati positif dadah.

Katanya dengan tangkapan ketiga-tiga suspek itu, kes pecah sekolah di Rantau Panjang dianggap selesai.

Haliludin berkata dalam tangkapan yang berasingan di Bunut Susu, lima pelajar sekolah ditahan bagi membantu siasatan kes pecah rumah dan kes pecah masuk sekolah.

Katanya kejadian tersebut dilaporkan pada 23 Mei lalu dan kelima-lima pelajar tersebut ditahan pada hari kejadian kira-kira jam 11 pagi.

"Kelima-lima suspek berusia 12 hingga 16 tahun dan ditahan di sekolah dan rumah masing-masing.

"Mereka ini dipercayai mencuri wang tunai sahaja tanpa mengambil barangan lain ketika melakukan kegiatan tersebut," katanya.

Haliludin turut menasihati pihak sekolah untuk memperketatkan pengawasan dalam sekolah kerana penjenayah juga ada terdiri dari pelajar sekolah sendiri. -BERNAMA

Artikel Lain