suria

Sekatan Dagangan Ke Atas Gaza Perlu Ditarik Balik - IDEAS

KUALA LUMPUR: Sekatan dagangan ke atas penduduk Gaza perlu ditarik balik, kata Penasihat Antarabangsa bagi Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Ekonomi (IDEAS) Dr Tom G. Palmer.

Beliau berkata sekatan dagangan itu sendiri merupakan satu jenayah, dan tindakan kejam pihak berkuasa Israel dalam menangani armada kecil kapal yang membawa bantuan kemanusiaan itu merupakan satu lagi hujah kenapa sekatan itu perlu ditarik balik.

"Mencari senjata itu satu perkara tetapi menyekat perdagangan dan bantuan sama sekali satu perkara lain. Macam mana pihak berkuasa Israel mahu mengharapkan keamanan dari rakyat yang pada akhirnya berasa mereka tidak kerugian apa-apa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Isnin lalu, 12 rakyat Malaysia adalah di antara ratusan sukarelawan yang ditahan Israel selepas tentera Israel menyerang kapal "Mavi Marmara" yang merupakan sebahagian daripada kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Palmer, berkata kemungkinan pihak berkuasa Israel perlu mempelajari sesuatu daripada apa yang berlaku.

"Bebaskan perdagangan dengan Gaza dan biarkan rakyat di sana bekerja, mengeluarkan hasil dan berkembang," katanya.

Sementara itu, Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airlines System (Maseu) menggesa industri pengangkutan logistik dan kargo Malaysia Airlines (MAS) untuk memboikot semua penghantaran kargo ke Israel.

Setiausaha Eksekutifnya Mustafar Maarof berkata mereka akan menyokong usul mengenai Palestin yang akan dibentangkan pada Kongres Sedunia Persekutuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) di bandaraya Mexico pada Ogos.

ITF merupakan gabungan 570 kesatuan sekerja pengangkutan dari 132 negara yang mewakili lima juta pekerja di daratan, laut dan udara.

Antara usul yang akan dibahas ialah penangkapan dan pendakwaan ke atas mereka yang bertanggungjawab bagi jenayah perang yang dilakukan semasa konflik dan meminta kepungan Israel ditamatkan segera tanpa syarat.

Katanya Maseu juga akan merekodkan ucapan tahniah kepada pekerja landasan Norway yang mengadakan mogok sebagai memprotes perang di Gaza dan kepada anggota pekerja dermaga Kesatuan pekerja-pekerja Pengangkutan Afrika Selatan (SATAWU) yang enggan mengendalikan kapal Israel. - BERNAMA

Artikel Lain