suria

Sasar Lahir 500 Usahawan Baru Orang Asli Dalam RMK-10

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) mensasarkan 500 usahawan baru Orang Asli dilahirkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata, jumlah itu dijangka melebihi bilangan usahawan Orang Asli seramai 235 orang yang dilahirkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Kebudayaan Orang Asli 2010 di Jusco Seremban 2 di sini, hari ini,10, katanya antara usahawan Orang Asli yang berjaya ialah Bah Desa a/l Bah Tubin yang menjalankan perniagaan membaiki kenderaan di Batu Caves, Gombak, Selangor yang memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

Seorang lagi usahawan berjaya ialah Zilkifli Sulaiman yang berjaya mengusahakan produk daripada buluh yang mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan. Sementara itu, Hasan berkata sebanyak 57 buah kampung Orang Asli telah dikenalpasti bagi pelaksanaan projek penyaluran bekalan air bersih pada tahun ini yang melibatkan peruntukan tambahan sejumlah RM51 juta yang diluluskan baru-baru ini.

Beliau berkata, penyaluran air bersih ini akan dilaksanakan melalui sistem retikulasi atau kaedah sistem bekalan air alternatif, yang dijangka menyelesaikan masalah bekalan air di kampung Orang Asli. Karnival lima hari mulai semalam itu, yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur bertujuan sebagai platform yang sesuai untuk mempromosi produk usahawan Orang Asli secara lebih meluas. - BERNAMA

Artikel Lain