suria

Saksi Bersumpah Dua Kali Kerana Masalah Bahasa

KUALA LUMPUR:Pakar Bedah Am Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Razali Ibrahim hari ini terpaksa mengangkat sumpah dua kali dalam bahasa berlainan selepas berlaku masalah bahasa disebabkan kehadiran pakar forensik dari Australia.

Mohd Razali, 37, saksi kedua kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada asalnya bersumpah dan menjawab soalan-soalan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden dengan menggunakan bahasa kebangsaan.

Pada pertengahan prosiding, peguam utama Anwar, Karpal Singh mengadu pihaknya mengalami masalah menterjemahkan keterangan saksi secara serentak kepada Dr David Lawrence Noel Wells yang dijemput membantu pihak pembelaan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya bertanya kepada Mohd Razali sekiranya beliau boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris.

“Selalu kita buat dalam Bahasa Melayu tetapi sebab ada pakar luar,” kata Mohamad Zabidin.

Saksi yang tidak mempunyai masalah melakukannya dalam Bahasa Inggeris, kemudian mengangkat sumpah sekali lagi pada jam 11 pagi dan perbicaraan berjalan seperti biasa.

Mohd Razali memberi keterangan terhadap Anwar, 65, yang dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Ogos 2008 di Unit 11-5-2, Kondominium Desa Damansara, Nombor 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel Lain