suria

Polis Patahkan Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM1.45 Juta

SHAH ALAM: Polis mematahkan cubaan menyeludup 5.8 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.45 juta apabila merampas bahan larangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 28 dan 29 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata kedua-dua rampasan itu membabitkan modus operandi yang sama iaitu menyembunyikan dadah yang dibungkus dalam plastik lutsinar pada lapisan bawah bagasi yang dibawa.

Beliau berkata dalam rampasan pertama pada 28 Mei lepas, polis menahan seorang lelaki rakyat Iran berumur 24 tahun ketika sedang membawa sebuah bagasi dan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik diperiksa satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi syabu seberat tiga kilogram bernilai RM750,000 ditemui tersorok di bahagian bawah beg yang dilindungi dengan helaian baju," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nordin berkata suspek yang pertama kali datang ke negara ini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya turut merampas sejumlah mata wang asing milik lelaki itu.

Dalam rampasan seterusnya, beliau berkata polis memeriksa sebuah bagasi yang tidak dituntut dan menemui dadah dipercayai syabu seberat 2.8 kilogram bernilai RM700,000.

"Kami percaya pemiliknya meninggalkan bagasi yang mengandungi dadah itu kerana bimbang selepas mendapati kawasan berkenaan diawasi ketat oleh pihak berkuasa," katanya. Sehubungan itu, Nordin berkata polis sedang mengesan pemilik beg itu berdasarkan nombor siri pada bagasi berkenaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, Nordin berkata empat lelaki termasuk dua guru dari sekolah kebangsaan di sini ditahan di sebuah rumah teres setingkat di Seksyen 15 di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas lapan botol ubat batuk codein seberat 14.8 liter, 2,200 pil pelbagai jenis yang belum dikenal pasti jenisnya dan 10 biji pil kuda yang disimpan di rumah berkenaan.

Nordin berkata dua guru yang ditahan berusia 28 dan 39 tahun dan seorang pemandu lori serta seorang kelindan berusia 28 dan 20 tahun.

"Kami masih menyiasat sama ada barangan ini untuk dijual atau tidak termasuk tujuan rumah itu disewa oleh seorang kelindan lori," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain