suria

Perkeso Kesan Majikan Ingkar Sepanjang Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) melancarkan "Ops Kesan Perkeso" selama sebulan mulai bulan ini di seluruh negara bagi mengesan majikan yang ingkar dan tidak mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Ketua Eksekutif Perkeso, K. Selvarajah berkata, usaha tegas itu bertujuan menyedarkan majikan mengenai tanggungjawab mereka dan hak pekerja dalam mendapatkan hak perlindungan keselamatan sosial di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta majikan yang masih belum mendaftar dengan Perkeso supaya segera berbuat demikian di 46 pejabat pertubuhan itu di seluruh negara.

Menurutnya, Perkeso juga menyelesaikan 98 kes pendakwaan ke atas majikan kerana gagal mencarum tahun lepas.

"Sepanjang 2009, 348 kes kompaun diselesaikan bagi kes majikan yang lewat mendaftarkan perusahaan mereka yang melibatkan denda sebanyak RM161,000," katannya dalam satu kenyataan di sini.

Selvarajah berkata, denda berjumlah RM217,625 pula dikenakan ke atas 246 majikan bagi kes lewat melaporkan kemalangan bagi pekerja masing-masing.

Kedua-dua kesalahan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang penjara dua tahun dan denda sehingga RM10, 000 atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut atau menyalurkan aduan di talian hotline Perkeso di 03-4257 5755 atau SMS dengan menaip PERKESO ADUA N(Nombor kad pengenalan) (aduan anda) dan hantar ke 15888. - BERNAMA

Artikel Lain