suria

Mohd Saiful Nafi Anwar Berada Di Unit Lain Ketika Kejadian Liwat Berlaku

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan Anwar berada di unit kondominium lain ketika kejadian liwat yang didakwa berlaku.

Mohd Saiful, saksi utama pihak pendakwaan, hari ini tetap dengan pendiriannya bahawa Anwar berada di unit pertama Kondominium Desa Damansara di mana kejadian itu didakwa berlaku dan bukannya di unit kedua, seperti yang dicadangkan beberapa kali oleh peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar.

Beliau berkata beliau telah pergi ke unit pertama, kondominium itu pada 26 Jun, 2008, untuk menghantar dokumen kepada Anwar. Karpal: Saya katakan anda dalam keterangan di mahkamah bahawa apa yang berlaku di Unit 11-5-1 kondominium itu adalah langsung tidak ada?

Mohd Saiful: Tidak benar.

Karpal: Saya katakan Datuk Seri Anwar berada di Unit 11-5-2, kondominium itu?

Mohd Saiful: Tidak.

Karpal: Sekali lagi, seperti yang dinyatakan anda di mahkamah bahawa Anwar berada di Unit 11-5-1 kondominium itu adalah tidak benar?

Mohd Saiful: Tidak. Dia berada di Unit 11-5-1.

Karpal : Saya cadangkan Datuk Seri Anwar berada di Unit 11-5-2?

Mohd Saiful: Tidak.

Karpal Singh kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan salinan notis alibi bahawa anak guamnya tidak berada di tempat kejadian seperti didakwa di Unit 11-5-1 kondominium itu, kepada pihak pendakwaan pada 19 Jun, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudian membenarkan permohonan Karpal Singh supaya prosiding seterusnya diadakan secara tertutup kerana ia melibatkan notis alibi anak guamnya, dan Mohamad Zabidin meminta semua orang awam beredar dari dalam mahkamah.

Prosiding secara tertutup itu berlangsung selama 14 minit dan orang awam dibenarkan masuk ke dalam mahkamah semula selepas pihak pembelaan selesai menyoal balas Mohd Saiful yang kelihatan sentiasa tenang dan dengan suara yang perlahan menjawab soalan Karpal yang kadang-kala menyoalnya secara bertubi-tubi.

Terdahulu, menjawab soalan Karpal Singh, Mohd Saiful sekali lagi menafikan bahawa beliau merancang untuk mengangkat sumpah di masjid dua hari sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil di Permatang Pauh, tetapi berkata tarikh yang dipilih itu adalah secara kebetulan.

Karpal: Tahu tidak tarikh anda angkat sumpah di masjid adalah dua hari sebelum tarikh penamaan calon?

Mohd Saiful: Tidak pasti

Karpal: Anda tahu tidak tarikh penamaan calon itu pada bulan Ogos, 2008?

Mohd Saiful: Tidak pasti

Karpal: Dalam keterangan anda, anda kata itu kebetulan bukan?

Mohd Saiful : Ya, itu kebetulan.

Karpal: Saya katakan ia dirancang.

Pada ketika ini Hakim Mohamad Zabidin menyampuk: "Jika saksi berkata tidak, dan anda berkata ya, saksi berkata tidak sekali lagi, tetapi anda berkata ya juga, sampai bila pun tak habis".

Kata-kata hakim itu menyebabkan orang ramai dalam mahkamah ketawa.

Kepada soalan lain, Mohd Saiful bersetuju dengan Karpal bahawa beliau telah menulis di laman blognya pada 2 Ogos, 2008 iaitu "kepada DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya ucapkan selamat bertanding", Karpal sekali lagi berkata bahawa ini menunjukkan beliau merancang hari angkat sumpah di masjid itu, di mana sekali lagi Mohd Saiful menafikannya sambil berkata ia sudah lama dirancang.

Menjawab soalan Karpal mengenai perkahwinan adiknya Saidati dengan Faiz Khairi, Mohd Saiful sekali lagi menegaskan bahawa beliau hanya tahu adiknya dibawa lari ke Thailand oleh Faiz, tetapi tidak pasti sama ada mereka telah berkahwin di sana.

Karpal: Dalam keterangan hari itu, anda katakan anda tidak tahu perkahwinan adik anda dengan lelaki bernama Faiz?

Mohd Saiful: Saya katakan saya tidak dapat pastikan sama ada mereka sudah berkahwin atau tidak.

Karpal: Awak tahu mereka berkahwin?

Mohd Saiful: Saya tahu mereka lari tetapi saya tidak ada bukti sama ada mereka telah berkahwin.

Karpal: Saya katakan anda tahu Saidati telah berkahwin. Ya atau tidak?

Mohd Saiful: Saya cuma tahu dia lari sahaja.

Karpal: Jangan berbohong kepada mahkamah.

Pada peringkat ini, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden membantah soalan itu kerana ia tidak relevan dalam kes ini yang mana turut dipersetujui oleh Hakim Mohamad Zabidin.

Karpal menjawab: "Tujuan kami mengemukakan soalan-soalan ini ialah berkaitan kredibiliti Mohd Saiful kerana dia berbohong kepada mahkamah".

Diminta menjawab oleh Hakim Mohamad Zabidin sama ada beliau tahu adiknya itu telah berkahwin, Mohd Saiful akhirnya berkata "Ya, saya tahu mereka telah berkahwin, tetapi sama ada perkahwinan itu sah atau tidak saya tidak tahu."

Karpal meminta Mohd Saiful menjawab soalan yang ditanya sahaja.

"Saya hanya tanya sama ada anda tahu atau tidak mereka telah berkahwin. Saya bukannya tanya sama ada perkahwinan itu sah atau tidak," kata Karpal yang kemudiannya dijawab Mohd Saiful bahawa beliau perlu memberi penjelasan terhadap soalan yang ditanya peguam terkenal itu.

Anwar, 63, yang juga Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, pada 26 Jun 2008. - BERNAMA

Artikel Lain