suria

Mahkamah Benar Lelaki Belanda Miliki Pasport Dua Minggu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan seorang lelaki warga Belanda, yang menghadapi pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi memperdaya sebuah yayasan diraja, mendapatkan kembali pasportnya.

Hakim S.M. Komathy Suppiah yang membuat keputusan itu dalam kamarnya bagaimanapun telah menambah wang jaminan Albert Zvonko Berdik, 65, dari RM50,000 kepada RM100,000.

Keputusan itu dibuatnya selepas mengadakan pertemuan kira-kira sepuluh minit bersama peguam yang mewakili tertuduh, Karpal Singh serta Timbalan Pendakwa Raya Natrah Dollah.

Hakim Komathy juga membenarkan Berdik memegang dan menggunakan pasportnya untuk tempoh dua minggu.

Berdik akan hanya membuat pembayaran wang tambahan jaminannya esok.

Semalam, Berdik melalui peguamnya memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan kembali pasportnya yang ditahan di mahkamah atas alasan, perlu ke Kemboja untuk menguruskan perniagaannya di sana, Sabtu ini.

Pada 4 Mei lalu, Berdik didakwa menggunakan satu dokumen disebut sebagai 'bill of exchange, Bedford International Financial Group' didakwa bernilai 150 juta Euro (1Euro=RM4.21) kononnya untuk didermakan kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Bagaimanapun, tertuduh mengetahui dokumen itu adalah palsu ketika ia diserahkan kepada yayasan tersebut di Istana Terengganu, Jalan Kia Peng di sini pada 12 tengah hari 16 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain