suria

Lelaki Larikan Kereta Polis Hadapi Tiga Pertuduhan

KOTA BARU: Lelaki yang melarikan kereta polis sewaktu di dalam tahanan pihak berkuasa pada 23 Mei lalu, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Zaidy Abd Majid, 33, didakwa melarikan diri daripada tahanan polis yang sah di hadapan kedai Pandai Recycle Trading, Kampung Parit, Jalan Pasir Tumboh, Kubang Kerian dekat sini kira-kira jam 3.40 petang, 23 Mei lalu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa gagal menunjukkan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri kepada pegawai polis, Asisten Supritendan Charan Ai Wan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baru kira-kira 8.20 pagi ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah motokar jenis Proton Waja bernombor pendaftaran DAL 9989 milik Mohd Hanafiah Ahmad, 30, ketika ditahan di hadapan Hong Leong Bank, Jalan Kebun Sultan, dekat sini, pada 27 Oktober 2008.

Ahmad Zaidy didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh di penjara sehingga lima tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hafiz Abd Rahman manakala Ahmad Zaidy tidak diwakili peguam.

Majistret Nor Haslinda Che Seman memerintahkan tertuduh tidak dibenar diikat jamin dan menetapkan 4 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pada 28 Mei lalu, Ahmad Zaidy ditahan di sebuah rumah di pusat bandar Jengka, Maran, Pahang bersama teman wanitanya dan sepasang kekasih berusia 30-an yang dipercayai rakannya oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kira-kira jam 4.05 pagi.

Beliau ditahan setelah meloloskan diri dengan melarikan sebuah kereta Proton Waja milik pegawai penyiasat ketika dibawa untuk siasatan luar berhubung kes kecurian kenderaan di kawasan Pasir Tumboh pada 23 Mei lepas. - BERNAMA

Artikel Lain