suria

Lebih Banyak Projek PPP Di Bawah RMK10

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang lebih banyak projek Perkongsian Swasta Awam (PPP) di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK-10), kata Timbalan Menteri di Jabatan perdana Menteri Datuk S.K Devamany.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membentangkan RMK10 di Parlimen pada minggu depan dan keseluruhan dokumen itu telah dimuktamadkan.

"PPP adalah adalah satu alat yang penting untuk menjana pertumbuhan dan projek infrastruktur," katanya pada Persidangan Pelaburan Antarabangsa bagi PPP di sini hari ini.

Selain itu, katanya kerajaan juga menyasarkan untuk mengurangkan lagi birokrasi dan mengurangkan proses melakukan peniagaan di Malaysia bagi para pelabur asing.

"Peraturannya akan dipermudahkan dan dasar liberalisasi akan diperkukuhkan. Kerajaan kini bergerak ke arah itu," katanya.

Devamany berkata PPP yang kukuh akan menerokai tanggung jawab, obligasi dan risiko secara optium dan "kita akan dapat mengurangkan ketidakefisienan serta mengurangkan kos."

Tahun lepas, adalah dilaporkan bahawa kerajaan menyasarkan pertumbuhan purata tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.5 peratus di dalam RMK10 dengan anggaran pembangunan keseluruhan RM230 bilion bagi mencapai matlamat ekonomi berpendapatan tinggi.

Adalah dijangka bahawa sekurang-kurangnya satu pertiga daripada perbelanjaan pembangunan atau projek antara RM60 bilion hingga RM70 bilion akan dilaksanakan mengikut PPP. - BERNAMA

Artikel Lain