suria

Kanak-kanak 2 Tahun Mati Dipercayai Mangsa Dera

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mati dipercayai didera oleh ibu dan teman lelaki ibunya sendiri di Sentul di sini.

Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, kanak-kanak malang tersebut sebelum itu dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Selayang dekat sini oleh ibunya setelah didapati tidak sedarkan diri.

Pada pukul 4.10 petang polis mendapat laporan daripada seorang doktor yang bertugas di hospital tersebut bahawa kira-kira pukul 2.45 petang tadi ada seorang wanita membawa anaknya yang tidak sedarkan diri dalam keadaan yang mencurigakan.

"Ketika diperiksa kanak-kanak tersebut didapati telah mati dan mempunyai kesan lebam di badannya dipercayai didera," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata polis kemudiannya menahan ibu mangsa berusia 23 tahun, bersama teman lelakinya, 25 yang tinggal bersama di sebuah apartmen di Sentul.

Katanya, bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar akan dijalankan pagi esok. -BERNAMA

Artikel Lain