suria

Jurulatih Gim Dipenjara, Disebat Miliki Pistol Dan Peluru Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR: Seorang jurulatih gim hari ini tidak dapat menahan kesedihannya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, ketika dia merayu bagi mengurangkan hukuman terhadap dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 87 butir peluru.

Tertuduh, Rudi Salleh Ruslan, 36, dilihat sebak ketika membuat rayuan, apatah lagi dengan kehadiran ibu dan tiga anaknya yang tidak pergi ke sekolah untuk melawat dan melepaskan rindu terhadap ayah mereka.

Dia yang diberi peluang memohon maaf dan mencium ibu serta tiga anaknya itu hanya mampu berkata, "maafkan saya,...anak-anak ku maafkan ayah juga", sebelum Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan enam kali sebatan, selepas dia mengaku bersalah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di blok 45-16-13 Menara Orkid, Bandar Baru Sentul, pada pukul 2.45 petang, 27 Mei lalu. Bagi kesalahan pertama, Rusdi Salleh, dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan enam kali sebatan kerana memiliki sepucuk pistol jenis Norinco, Mod.231B, 9mm TARA tanpa lesen.

Bagi kesalahan kedua, dia dipenjara dua tahun kerana memiliki 87 butir peluru jenis .9mm jenama Thai Arms tanpa lesen yang sah, di tempat dan pada masa yang sama.

Zainal Abidin mengarahkan tertuduh yang juga peniaga buah-buahan, menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 27 Mei 2009.

Bagi pertuduhan memiliki pistol, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Akta Senjata Api 1960 bagi pertuduhan memiliki peluru yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan tidak lebih enam sebatan serta penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Pada 17 Jun tahun lepas, tertuduh yang juga bergiat aktif dalam aktiviti lasak lain, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu di mahkamah yang sama bagaimanapun menukar pengakuan bersalah pada 11 Mei 2010.

Terdahulu, peguam Tharamjit Singh merayu kepada mahkamah agar memberikan hukuman yang setimpal atas alasan anak guamnya itu masih menanggung kebajikan tiga anak yang tinggal bersama ibunya, walaupun dia sudah bercerai dengan isterinya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusuff. - BERNAMA

Artikel Lain