suria

Imigresen Tahan 90 Pekerja Asing Dalam 'Ops Mahir'

PONTIAN: Jabatan Imigresen Johor menahan 90 pekerja asing yang bekerja di sebuah tapak pembinaan dalam satu "Ops Mahir" di Ulu Choh di sini hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasanya Masri Adul berkata kesemua rakyat Bangladesh dan Indonesia itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain tinggal dalam negara melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada 210 pekerja yang diperiksa menerusi operasi yang bermula pada pukul 3.30 petang ini," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua pekerja asing berumur antara 20 dan 43 tahun itu dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk tindakan lanjut, dan menurutnya jabatan imigresen turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang dipercayai penyelia tapak projek berkenaan bagi membantu siasatan.

"Bagi mengelakkan kehadiran kami disedari, kami menggunakan 30 motosikal untuk memasuki kawasan pembinaan terbabit sebelum disusuli anggota lain yang menaiki kereta dan van," katanya.

Masri berkata operasi yang membabitkan 120 anggota Imigresen itu dilakukan selepas pihaknya membuat risikan hasil maklumat orang awam selama seminggu. -BERNAMA

Artikel Lain